Dayang Nurfaizah Laris Dalam Talian

Industri muzik kini disifatkan sedang nazak memandangkan terlalu banyak platform media sosial yang memperdengarkan lagu terbaru secara percuma hingga menjejaskan pasaran album fizikal.

Langkah penyanyi Dayang Nurfaizah memasarkan album terbaru dengan judul namanya, Dayang Nurfaizah secara digital membuahkan hasil apabila menduduki carta teratas album paling laris tidak sampai 24 jam apabila dijual secara digital di semua platform pada 7 April lalu.
Lebih membanggakan Dayang apabila album ini juga berada dalam carta 10 album terlaris di Singapura dan Brunei.

Perkembangan ini membuktikan pasaran digital mempunyai masa depan yang cerah dan boleh mendapat sambutan jika lagu dimuatkan menepati cita rasa pendengar. Album fizikal pula mula dipasarkan sejak semalam (15 April).

Berita gembira ini dikongsi penyanyi yang dikenali dengan lagu Dayang Sayang Kamu itu dengan Selebriti, Metro Ahad. Dayang atau Dayang Nurfaizah Awang Dowty meluahkan rasa syukur dengan perkembangan itu. Katanya, usaha lebih dua tahun untuk menyudahkan pembikinan album terbaru itu sangat berbaloi apabila peminat terus membeli sebagai tanda sokongan kepada kerjaya seninya yang diceburi hampir 17 tahun.

“Sememangnya saya menghasilkan album ini untuk peminat dan mereka sudah menantikan himpunan lagu terbaru hampir enam tahun. Melihat perkembangan itu, saya sangat bersyukur.

“Sebelum ini, prajualan album secara digital juga dilakukan yang memuatkan lima lagu saja termasuk single terbaru yang sedang dipromosikan, Separuh Matiku Bercinta ciptaan sepenuhnya oleh Ajai, turut mendapat sambutan.

“Tujuan saya membuat prajualan album dengan beberapa lagu baru adalah bagi mendapatkan maklum balas peminat.

“Album ini turut memuatkan lagu bonus persembahan secara langsung di Anugerah Juara Lagu ke-29, AJL30 dan AJL31 membabitkan lagu Di Pintu Syurga, Tak Pernah Menyerah dan Lelaki Teragung,” katanya.

Kata Dayang, maklum balas diberikan peminat sangat positif dan mereka menggemarinya apabila menjuarai carta jualan tertinggi di i-Tunes sebaik saja dipasarkan bermula jam 12 malam pada 7 April lalu.

“Saya terharu dan bersyukur dengan perkembangan ini. Album dihasilkan dan dipasarkan juga tersenarai antara yang digemari di beberapa platform digital lain.

“Sebagai penyanyi yang berusaha untuk memastikan karya dimuatkan mampu memenangi hati peminat, ia menunjukkan berkembangan sangat bagus dan ini satu permulaan yang baik,” katanya.

Katanya, sambutan diberi juga membuktikan masih ada masa depan untuk pasaran digital dan peminat sanggup membeli jika karya itu dianggap baik.

“Timbul perasaan skeptikal kerana sebaik bergelar penyanyi rakaman 17 tahun lalu, kebanyakan karya saya dendangkan dijual dalam bentuk fizikal.

“Perubahan teknologi sedikit sebanyak membuatkan saya berasa kurang yakin membabitkan penerimaan apabila ia dipasarkan secara digital.

“Ternyata dengan jualan menggalakkan diterima album ini menerusi digital, ia memberikan keyakinan kepada saya bahawa industri muzik tidak akan mati dan sebenarnya kita sedang melalui transisi pada sudut memasarkan karya.

“Meraih jualan album secara digital menunjukkan ia perkembangan sangat bagus untuk indusri muzik tempatan. Terima kasih kepada peminat yang percaya dan menyokong dengan membeli,” katanya.

Seperkara lagi yang menarik sempena pelancaran album terbaru ini, Dayang juga mengatur persembahan khas buat peminat bagi memperdengarkan keseluruhan single dimuatkan secara langsung pada 18 April di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC).

Hampir dua minggu sebelum ia dilangsungkan, tiket duduk bebas berharga RM159 dan tempahan tempat duduk RM259 berserta cakera padat diberikan percuma sudah habis dijual.

“Saya tahu ramai peminat kecewa apabila tidak dapat menyaksikan persembahan ini. Saya memohon maaf kerana tempat agak terhad. Memang untuk persembahan khas ini saya tidak mahu mengadakan di tempat lebih besar kerana mahu berasa dekat dengan peminat yang hadir.

“Mereka yang sentiasa mengikuti perkembangan kerjaya seni saya tentu tahu persembahan sempena pelancaran album ini dibuat dalam skala kecil kerana saya mahu suasana lebih tenang, dapat berinteraksi dengan mereka secara langsung sambil menyanyi,” katanya.

Bagi peminat yang tidak dapat menghadiri persembahan itu, Dayang berharap supaya mereka berdoa ada peluang untuk bertemu dalam konsertnya yang sedang dirancang sebaik sesi jelajah promosi album selesai diadakan hingga akhir tahun ini.

Untuk persembahan pada 18 April ini, Dayang buat pertama kalinya menggunakan khidmat pengarah muzik Genervie Kam, yang turut menerbitkan beberapa lagu dalam album barunya itu.

“Saya sudah pun menjalani sesi latihan dengan enam pemuzik. Saya tidak menggunakan jumlah pemuzik yang besar kerana mahu mendapatkan bunyi muzik yang asli seperti dalam album. Malah, tidak banyak perubahan dilakukan pada muzik setiap lagu baru didendangkan nanti,” katanya.

Mengenai lagu popularnya sebelum ini, Dayang enggan mendedahkannya dan mahu ia menjadi kejutan buat mereka yang hadir pada malam persembahan itu nanti.-Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.