Saya Datang Bukan Buat Fitnah Tapi Menyatukan – Dr Zakir Naik

Oleh : Saiful Izzuwan Mohammad

 

KUALA LUMPUR – Pendakwah terkemuka dunia, Dr. Zakir Naik menegaskan bahawa beliau tidak datang ke Malaysia untuk membuat fitnah.

 

Menurut beliau, apa yang ingin dilakukan ialah menyatupadukan seluruh umat manusia tanpa mengira agama dan bukannya untuk mencipta perbezaan antara agama.

 

“Saya tidak datang ke sini untuk membuat fitnah, atau mencipta perbezaan tapi ayuhlah kita bersetuju terhadap persamaan.

 

“Bagi yang berbeza, kita biarkan ia untuk perbincangan,” katanya ketika menyampaikan ceramah perdana di Stadium Hoki Bukit Jalil sebentar tadi.

 

Tambah beliau lagi, apa yang ingin disampaikan oleh beliau ialah sekiranya ingin menyatupadukan sesebuah kaum, titik persamaan harus ditekankan.

 

“Saya bukan datang untuk mencipta perbezaan tetapi ingin menyatukan semua.

 

“Sekiranya kita ingin mengenali Islam, pelajari Al-Quran, sekiranya kita nak kenali Kristian, maka pelajari Bible, jika nak mengenali Hindhuism, jangan lihat kepada penganutnya, tetapi pelajari Scripturenya,” ujar beliau lagi.

 

Dalam ceramah yang disampaikan itu, Dr Zakir turut menyindir beberapa pihak yang membuat laporan polis terhadapnya.

 

“Jadi apa yang anda nak lakukan, buat laporan polis?,” soalnya sinis.

 

Ceramah yang berlangsung di Bukit Jalil malam ini merupakan antara siri jelajah Dr Zakir di Malaysia yang turut menyaksikan kehadiran Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim serta Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin.

 

Beberapa jam sebelum ceramah tersebut berlangsung, Dr Zakir berkesempatan bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bersarapan bersama di Putrajaya.

 

PM Najib bersama Dr Zakir Naik

 

Dalam pertemuan itu, Najib turut menyampaikan harapan beliau agar Dr Zakir dapat menyampaikan mesej ke peringkat antarabangsa berkaitan Malaysia.

 

“Adalah harapan saya agar Dr. Zakir dapat menyampai mesej ke seluruh dunia bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan kesederhanaan.

 

“Malah Malaysia sentiasa berusaha untuk menggalakkan kesatuan ummah untuk keteguhan bersama,” kata Najib menerusi akaun Facebook beliau hari ini.

 

Dr Zakir juga mengadakan perjumpaan dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Hotel Seri Pasific di ibu negara yang turut disertai beberapa pemimpin kanan PAS yang lain. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.