Laungan Terima Kasih Malaysia Di Kem Pelarian Jordan

TERIMA kasih Malaysia! itu ungkapan keramat yang tim Hajat dengar setiap kali kumpulan kami tiba di kem-kem pelarian Syria di Jordan.

 

Menurut pelarian Syria yang tim Hajat temui NGO Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (Haluan), Astro Prima dan Sinar Harian rakyat Malaysia antara yang paling pemurah sikapnya, kerana sering membantu rakyat Syria.

 

“Moga ALLAH murahkan rezeki rakyat Malaysia.

 

“Walaupun berlainan bangsa, warna kulit namun rakyat Malaysia antara yang paling dermawan,mereka ‎sering kali menghulurkan tangan ketika kami dalam kesusahan.

 

“Jasa dan pengorbanan rakyat Malaysia terhadap kami amatlah besar, kami akan ingat Malaysia. Semoga ALLAH merahmati rakyat Malaysia,” demikian antara ungkapan menyentuh kalbu daripada pelarian Syria dewasa tatkala tim kami membuat kunjungan ke atas penempatan mereka di kem pelarian Sakan Karamah.

 

Dalam pada itu, ‎tatkala kami bertemu dengan anak-anak pelarian Syria yang rata-ratanya masih mentah untuk mengetahui apa sebenarnya berlaku di Syria berkata, mereka masih sayangkan negara asal mereka dan berharap agar Syria kembali aman seperti dahulu.

 

“‎Moga ALLAH kembalikan negara kami seperti dahulu, kami ingin bermain dan hidup gembira di tanah air sendiri,” kata mereka.

 

Dalam pada itu‎, ketika kami menemu bual beberapa anak-anak kecil ini mengenai harapan mereka, rata-rata mengatakan mereka berharap dapat kembali ke Syria walau bagaimana keadaan negara mereka sekalipun.

 

“Ya ALLAH, kami hanya punyai satu harapan iaitu mahu kembali ke negara kami semula.

 

“Walaupun kehidupan kami di sini (Jordan) semakin baik, tetapi kami tetap bercita-cita ingin kembali tinggal ke negara asal kami iaitu Syria.

 

“Semoga harapan dan cita-cita kami tercapai dengan kehendak-NYA,” tutur Khalid,15, kepada tim kami.

 

Sementara menurut Lala, 12, pula dia berharap agar dia menjadi doktor pada suatu hari nanti.

 

“Harapan saya semoga saya dapat menjadi doktor apabila dewasa kelak, saya ingin berbakti kepada rakyat di negara Syria.

 

“Saya ingin kembali ke Syria,” tutur si manis itu kepada Tim kami.

 

Pelarian-pelarian Syria yang kami temui ini, kini ditempatkan di Kem Pelarian Sakan Karamah Jordan.

 

Kem Sakan Karamah dibina oleh sebuah NGO dari negara Kuwait, ia menempatkan 382 pelarian iaitu 184 lelaki dan 198 perempuan daripada 51 keluarga pelarian Syria.

 

Di Kem itu terdapat 10 ‎blok bangunan (51 bilik)  bagi menempatkan ke semua keluarga tersebut.

 

Kedatangan tim Hajat ke kem itu bagi memberi sumbangan berbentuk ubat-ubatan, makanan dan sumbangan yang lain.

 

Tim Hajat memulakan misi ke kem pelarian Syria  di Jordan yang mengambil  masa selama 11 hari di bumi Jordan bermula 12 April lalu.

 

Kira-kira 10 orang krew yang terlibat dalam misi kemanusiaan tersebut iaitu terdiri daripada Penerbit Program Hajat Astro Prima, Azmee Mahmud, Pengarah Hajat Musim ke-5, Lokman Hakim Mustapha, Pengacara Hajat Musim ke-5 Pencetus Ummah, PU Mohammad Azhar Hilmi Mohamad Fadzil, Pengacara bersama, PU Mohd Fakhrurrazi Mohd Hanapi, dua orang doktor daripada NGO (Haluan) iaitu Ketua Biro Kemanusiaan Dr Baharuddin Suri, ‎Ketua Unit Latihan Biro Kemanusiaan Dr Mohtar Ibrahim, Aktivis Kemanusiaan Haluan, Muhammad Qawiem bin Abdul Baki,‎Setiausaha Kerja Biro Misi Kemanusiaan Haluan Muhammad Shakir Sabarudin, Aktivis Kemanusiaan Haluan ‎Abdullah Afiq dan wartawan Sinar Online, Muhammad Shamsul Abd Ghani.

 

Jika anda ingin memberi sumbangan kepada anak-anak pelarian ini anda bolehlah menyalurkan sumbangan ke Tabung Kebajikan dan Kemanusiaan Haluan iaitu melalui Maybank Berhad No akaun 562263502611.

 

MOGA ALLAH MEMPERMUDAHKAN URUSAN KITA SEMUA.‎  Amin. – Sinar Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.