Boleh Guna Nama Suku Kaum Sarawak Dalam Borang Rasmi

KOTA SAMARAHAN – Berkuat kuasa mulai hari ini, perkataan lain-lain yang dicatatkan dalam borang rasmi kerajaan bagi mengklasifikasikan pelbagai etnik bumiputera di Sarawak akan ditulis berdasarkan suku kaum sebenar mereka.

 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, arahan telah dikeluarkan kepada Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Pengarah JPN Sarawak untuk menguatkuasakan pindaan berkenaan.

 

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, kelulusan itu adalah sebagai memenuhi permintaan rakyat negeri ini yang disampaikan melalui Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem dan menteri-menteri Kabinet dari Sarawak yang mahu agar maklumat bangsa mereka ditulis mengikut kaum masing-masing berbanding istilah lain-lain digunakan sebelum ini.

 

“Kabinet Persekutuan telah meluluskan agar perkataan lain-lain yang diguna pakai bagi mengklasifikasikan bumiputera di Sarawak dalam borang rasmi kerajaan ditulis mengikut suku kaum itu sendiri.

 

“Kelulusan telah dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri supaya arahan itu dilaksanakan oleh Ketua Pengarah JPN dan Pengarah JPN Sarawak,” katanya dalam ucapan pada Program Sejiwa Senada 2016 yang berlangsung di perkarangan Majlis Daerah Samarahan di sini hari ini. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.