Dr Mahathir Terkejut UMNO Sokong Hudud Tidak Islamik PAS

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memberi amaran kepada Umno tindakan parti itu menyokong agenda PAS melaksanakan hukuman hudud di Kelantan, dengan mengulangi dakwaan usaha melaksanakan undang-undang itu mempunyai agenda politik tertentu.

 

Dr Mahathir berkata, beliau terkejut melihat Umno Kelantan amat menyokong hudud PAS dan mengingatkan parti itu sepatutnya sedar tindakan mereka.

 

“Saya terkejut mendengar bahawa Umno Kelantan menyokong hudud PAS. Saya harap mereka faham apa yang dilakukan oleh mereka,” katanya dalam tulisan di blog popularnya www.chedet.cc malam tadi yang dilaporkan mengalami peningkatan pembaca mendadak sejak akhir-akhir ini.

 

Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan sebulat suara meluluskan pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) 2015, dengan sokongan semua 12 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno.
“Niat PAS dan Umno Kelantan apabila memperkenalkan hudud PAS adalah untuk kepentingan politik. Ini menjadikan hukum hudud PAS dan sokongannya oleh Umno tidak Islam,” katanya.

 

Katanya, jelas hudud adalah politik PAS berdasarkan ucapan Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 2003, apabila mengatakan parti itu terpaksa menolak tepi pelaksanaan hudud dan agenda negara Islam di peringkat persekutuan demi mencapai kemenangan pilihan raya umum.

 

Menurutnya, Hadi mengiktiraf agenda negara Islam PAS tidak berkesan dalam kerjasamanya dengan DAP di bawah Barisan Alternatif (BA) untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

 

Dr Mahathir juga menyifatkan hudud PAS bukan hukum Islam kerana ia tidak adil apabila hanya dihadkan kepada orang Islam, sedangkan bukan Islam dikenakan hukuman ringan di bawah undang-undang sivil.

 

Katanya, tidak adil jika seseorang dihukum secara berbeza dalam masyarakat yang sama.

 

“Hudud PAS bukan hudud Islam sebab ia sangat tidak adil, sedangkan Al-Quran menuntut keadilan apabila menghukum,” katanya.

 

Beliau menepis persepsi mengatakan imej Islam menjadi buruk kerana menolak hudud PAS kerana baginya itu bukan hukum Allah.

 

“Benarkah hukum yang dicipta tanpa mengambil kira keadilan Islam serta dengan niat politik adalah hukum Allah?

 

“Memikir bahawa imej Islam di kalangan orang bukan Islam, bahkan orang Islam sendiri tidak penting adalah salah. Islam berkembang meluas dahulu kerana imej tamadun yang didiri oleh orang Islam begitu cemerlang sehingga memikat hati orang bukan Islam.

 

“Melakukan sesuatu kerana kepentingan lain yang memburukkan imej Islam adalah sesuatu yang tidak menepati ajaran Islam dan menjauhkan orang bukan Islam dari agama suci Islam. Ia adalah perbuatan anti-dakwah,” katanya.

 

Katanya, disebabkan itu hudud PAS yang diluluskan dalam DUN Kelantan tidak boleh diterima pakai sebagai undang-undang Islam.

 

“Di Malaysia, hukum syarak yang sedia ada terhad kepada kepincangan dalam keluarga Islam. Ia tidak menganiaya orang Islam atau orang bukan Islam.

 

“Untuk jenayah lain, undang-undang Malaysia tidak membezakan antara agama demi mencapai keadilan bagi semua. Ketegasan Islam berkenaan dengan keadilan dijunjung,” katanya.

 

Dr Mahathir juga membidas Hadi kerana mendakwanya tidak faham hukum Islam dan tidak layak bercakap mengenai hudud.

 

“Saya juga boleh kata Hadi tidak tahu berkenaan pentadbiran dan tidak layak mentadbir negeri.

 

“Sebagai seorang yang terlatih dalam bidang perubatan saya boleh kenal pasti penyakit, termasuk penyakit pentadbiran dan mengubatinya.

 

“Saya tidaklah begitu jahil dalam bidang agama. Hasil semasa pentadbiran oleh saya boleh dikaji,” katanya.

 

Bekas perdana menteri paling lama berkhidmat itu sebelum ini pernah mempersoalkan hudud yang tidak adil apabila mempunyai dua undang-undang yang berbeza terhadap penganut Islam dan bukan Islam, yang tidak terdapat dalam Quran.

 

Katanya, niat PAS melaksanakan hudud bukan untuk menegakkan syariah Islam tetapi cuma kepentingan politik untuk menang PRU.

 

PAS meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) 2015 pada 19 Mac lalu.

 

Namun rakan sekutunya, DAP dan PKR enggan menyokong jika undang-undang itu dibentangkan di Parlimen.

 

Tindakan itu juga menyebabkan DAP memutuskan hubungan dengan Hadi, namun masih ingin kekal dalam Pakatan Rakyat. – M.Insider

One thought on “Dr Mahathir Terkejut UMNO Sokong Hudud Tidak Islamik PAS

  • May 25, 2015 at 5:14 pm
    Permalink

    sukatilah apa pun hang nak cakap. doa aku supaya hudud ni berjaya dilaksanakan di Malaysia. dan juga di seluruh dunia. kenapa takut sangat? kenapa kata hudud Pas? ada kategori ke hudud? balik2 sembang Pas kerjasama dengan DAP. so? apa beza Umno dan MCA, MIC, Gerakan? Hang orang Islam Mahathir.. hati-hati bila bersuara. Hudud memang aku sokong. itu hukum Allah. ada termaktub dalam Al-Quran. faham ke tidak tetap kena laksanakan. baguslah kalau Umno Kelantan sokong. Sebagai Islam memang wajib sokong. sibuk habis berjuta promote GST.. sebab nak tolong bayar hutang yang kerajaan buat. tapi tak sebok pun nak promote pasal hudud. bagi orang faham apa itu hudud.

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.