Sultan Pahang Gesa Rakyat Sokong Kepimpinan Najib

Kuantan – Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah menggesa rakyat di negeri ini, terus menyokong kepimpinan sedia ada yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, dalam usaha mengekalkan keamanan dan kesejahteraan yang dikecapi kini.

 

“Datuk Seri Najib seorang pemimpin yang sangat rajin dan saya sangat berbangga dengan beliau. Marilah kita sama-sama berdoa agar kepimpinan beliau kekal dan semua rakyat harus menyokongnya, jangan mengkritik bukan-bukan tentang perkara yang kita sendiri tidak tahu,” titah baginda.

 

Baginda bertitah demikian kepada pemberita selepas merasmikan bangunan ibu pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Pahang di Indera Mahkota di sini, hari ini.

 

Turut berangkat, Sultanah Pahang Sultanah Hajah Kalsom, Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Halimah Mohamed Sadique dan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob.

 

Sultan Ahmad Shah bertitah demikian ketika diminta mengulas mengenai isu semasa, termasuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin yang akan diadakan 5 Mei ini, berikutan kematian anggota parlimennya, Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis pada 4 April lepas.

 

Baginda pada masa sama, turut menasihatkan rakyat agar sentiasa menjaga keamanan dan mengikut peraturan yang ditetapkan sepanjang tempoh PRK itu.

 

Dalam perkembangan lain, Sultan Ahmad Shah berharap agar penambahan aset Jabatan Bomba dan Penyelamat dapat dilakukan di negeri ini, untuk kemudahan rakyat terutama yang tinggal di kawasan pedalaman khususnya yang jauh dari balai bomba.

 

Selain itu, baginda berharap pihak berkaitan dapat menubuhkan sebuah balai bomba di Bukit Fraser, memandangkan kawasan peranginan itu agak terpencil dan bantuan menyelamat akan menghadapi kesukaran ke sana jika berlaku kes kecemasan.

 

Sementara itu, Halimah dalam sidang media berasingan berkata kementerian dan Jabatan Bomba akan segera berurusan dengan kerajaan negeri bagi mengenal pasti kawasan yang sesuai untuk menubuhkan balai bomba berkenaan dalam masa terdekat.

 

“Kita juga akan menambah kelengkapan dan peralatan jabatan bomba di seluruh negara dari semasa ke semasa mengikut keperluan. Kerajaan negeri juga diberi keutamaan bagi mencadangkan balai bomba mana yang perlu dinaik taraf atau dibina baharu dan mana yang perlu ditukar dan digantikan dengan peralatan moden,” katanya.

 

Beliau berkata pihaknya juga sedang menaik taraf pasukan bomba sukarela yang kini mempunyai sebanyak 396 pasukan di seluruh negara.

 

Fungsi pasukan bomba sukarela, katanya amat penting terutama dalam memberikan bantuan di peringkat awal berlakunya kes kecemasan.

 

“Setakat ini, pasukan bomba sukarela tersebut mempunyai 14,000 anggota yang bertindak sebagai barisan hadapan apabila berlaku kebakaran, kemalangan atau bencana alam,” katanya. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.