Sindiket Awang Hitam Curi Duit Melalui E-Mel Tumpas

PULAU PINANG – Sindiket penipuan wang melalui internet yang didalangi ‘Awang Hitam’ tumpas dengan penahanan lima lelaki warga Nigeria di sebuah kondominium di Subang Jaya, Selangor pada 13 April lalu.

 

Kesemua suspek ditahan selepas seorang eksekutif sebuah kolej swasta di negeri ini yang kerugian RM10,000 selepas mengklik pautan yang kononnya dihantar sebuah bank melalui e-mel pada 9 April lalu, membuat laporan polis.

 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Asisten Komisioner Azmi Adam berkata, mangsa berusia 48 tahun berasa curiga apabila mendapati dalam masa beberapa minit wang tunainya telah dipindahkan ke akaun yang tidak dikenali.

 

Menurutnya, mangsa kemudian menghubungi bank bagi menghentikan transaksi berkenaan.

 

“Polis yang menjalankan siasatan kemudian berjaya menahan lima lelaki warga Nigeria terbabit,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

 

Berdasarkan siasatan awal, Azmi memberitahu, modus operandi sindiket berkenaan adalah menghantar e-mel kepada mangsa menggunakan laman web palsu mirip bank tempatan.

 

“Mereka yang berusia antara 21 hingga 24 tahun telah masuk ke negara ini sejak 2011 dan mendaftar sebagai pelajar jurusan bahasa Inggeris dan Pengajian Perniagaan di sebuah kolej swasta,” katanya.

 

Dalam serbuan itu kata Azmi, polis turut merampas dua set komputer riba, komputer, 10 unit telefon bimbit, lima pasport antarabangsa Nigeria dan 10 kad pengeluaran wang (ATM) bank tempatan dan wang tunai RM400.

 

Ujar beliau, kesemua mereka ditahan reman selama seminggu dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 4 (1) (a) Akta Jenayah Komputer 1997. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.