Setiausaha Sulit Menteri Ditahan Reman Kerana Tuntutan Palsu RM500,000

Kuala Lumpur – Seorang setiausaha sulit seorang menteri Kabinet direman selama tujuh hari kerana didakwa membuat tuntutan palsu sebanyak RM500,000.

 

Penahanan setiausaha sulit kepada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Joseph Entulu Belaun yang berusia 41 tahun itu adalah bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

 

“Suspek merupakan setiausaha sulit kepada seorang menteri di Jabatan Perdana Menteri dan dibawa ke Mahkamah Majistret di Kuching untuk ditahan reman sehingga 20 April.

 

“Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Low Chin How membuat permohonan melengkapkan siasatan mereka dan pendengaran dibuat secara tertutup di hadapan Majistret Zulhairil Sulaiman,” lapor Borneo Post.

 

Lapor akhbar itu lagi, walaupun ada bilik mahkamah khas mendengar sebarang kes tahanan reman, peguam bela Wit Malang yang mewakili suspek, memohon agar pendengaran permohonan dibuat secara tertutup.

 

“Alasan yang digunakan adalah anak guamnya adalah individu yang sangat penting,” jelas akhbar itu.

 

Kata akhbar itu lagi, suspek disiasat kerana didakwa membuat tuntutan palsu bagi dana kerajaan beberapa program yang dianjurkan.

 

“Siasatan akan dijalankan di ibu pejabat SPRM di ibu negara,” kata akhbar itu.

 

Sementara itu Entulu ketika dihubungi berkata terkejut dengan penahanan tersebut namun menyatakan keyakinan Setiausaha Sulitnya itu tidak melakukan sebarang kesalahan.

 

“Beliau baru disiasat (dan) pegawai SPRM yang menahannya telah memohon agar tahanan reman dilanjutkan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

 

“Dia belum disabitkan dengan sebarang kesalahan lagi” ujar Entulu kepada Borneo Post semalam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.