Sayap Umno Kedah, Desak Mukhriz Jangan Keluar Kenyataan Sokong Najib

Alor Setar – Kepimpinan Sayap Umno Negeri Kedah mendesak Menteri Besar, Datuk Seri Muhkriz Mahathir agar tidak membuat sebarang kenyataan berhubung konflik yang melanda antara Perdana Menteri dan Tun Dr Mahathir.

 

Ketiga-tiga sayap Wanita, Pemuda dan Puteri dalam satu kenyataan bersama hari ini berkata tiada keperluan untuk mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung konflik tersebut kerana ingin menjaga keharmonian politik di peringkat negeri.

 

Menurut Ketua Pergerakan Puteri Umno Kedah, Datin Norashimah Md Nowar ketika dihubungi SuaraTV, satu perjumpaan tertutup telah diadakan bersama Mukhriz petang tadi.

 

“Semua pemimpin sayap telah mengadakan perjumpaan bersama YAB Menteri Besar sebentar tadi dan kami telah menyuarakan hasrat hati kami agar Datuk Seri Muhkriz tidak mengeluarkan sebarang kenyataan.

 

“Kami turut tegaskan bahawa kepimpinan sayap di peringkat bahagian menyokong penuh kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib dan di masa yang sama kami menghormati Tun Mahathir” ujarnya kepada SuaraTV sebentar tadi.

 

Menurutnya perjumpaan bersama Mukhriz itu telah diadakan di pejabat Perhubungan Umno Negeri pada pukul 3.30 petang tadi.

 

“Dalam perjumpaan tersebut, MB berkata akan menilai permintaan yang dikemukakan oleh kami dan akan berbincang dengan kepimpinan yang lain.

 

“Datuk Seri Mukhriz juga tidak memberikan sebarang kata putus sama ada ingin meneruskan atau membatalkan kenyataan yang akan dikeluarkan pada 24 April ini…. kami (kepimpinan sayap) tidak terlibat dalam perjumpaan tersebut, sebab itu kami mohon berjumpa bagi menyatakan hasrat dan pendirian kami” katanya lagi.

 

Norashimah turut menafikan wujud sebarang pergolakkan di peringkat negeri seperti yang digembar-gemburkan oleh sesetengah pihak.

 

Adun Bukit Lada, Datuk Ahmad Lebai Sudin sebelum ini berkata Umno Kedah mungkin berpecah sekiranya Mukhriz terus mengambil sikap berdiam diri dalam isu serangan Tun Mahathir terhadap kepimpinan Perdana Menteri.

 

Menurutnya sekiranya keadaan ini berterusan, kepimpinan Umno peringkat bahagian, ahli parlimen dan ahli dewan undangan negeri (Adun) Kedah, mungkin akan mengadakan satu perjumpaan khas tanpa Mukhriz bagi membincangkan sokongan mereka kepada Najib.

 

Mukhriz dilaporkan akan bermesyuarat pada 24 April ini untuk mencapai kata putus berhubung isu terbabit.

 

“Kami bersetuju sesama kami, jangan ada apa-apa kenyataan (sebelum 24 April). Kami hendak satu kenyataan bersifat konsensus dalam kalangan semua anggota Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah.

 

“Nampaknya Ahmad agak ghairah sangat, dia keluarkan kenyataan sebelum kami keluarkan kenyataan rasmi,” ujarnya sebelum ini” ujarnya ketika diminta mengulas mengenai kenyataan yang memintanya supaya meletak jawatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.