Raja Muda Perlis Mahu Isu Kaum, Agama Diberi Perhatian Serius

Kangar – Isu melibatkan kaum dan agama yang memberi impak serius terhadap masyarakat berbilang kaum di Malaysia hendaklah dikekang dari awal, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

 

Baginda bertitah, Malaysia mempunyai sejarah sendiri dalam isu berkenaan, oleh itu, sebarang isu penting mengenainya hendaklah ditangani secara serius sebelum ia merebak.

 

“Ancaman siber sekarang meningkat mendadak dan menjadi cabaran utama pasukan polis untuk mengenal pasti pelaku selain kelemahan undang-undang untuk mendakwa mereka.

 

“Polis perlu memandang serius penggunaan media sosial untuk menyebar isu-isu ketenteraman awam yang boleh memecahbelahkan perpaduan,” titah baginda pada program “Community Policing” sempena Hari Polis ke-208 di Seriab, petang semalam.

 

Pada majlis berkenaan baginda berkenan menyerahkan kaki palsu dan hamper kepada pesara komando polis VAT 69 Sarjan Abdul Halim Putih.

 

Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis Hajah Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan turut hadir Ketua Polis Perlis SAC Datuk Zull Aznam Haron serta pegawai kanan polis negeri.

 

Tuanku Syed Faizuddin bertitah kerjasama erat antara polis dan masyarakat mampu mencegah dan meminimumkan kejadian kejenayah selain menjamin keselamatan di kawasan perumahan mereka.

 

“Beta mahu masyarakat dan badan-badan bukan kerajaan menyahut seruan pihak berkuasa agar ‘celik jenayah’ untuk menjadikan kehidupan lebih selamat dan harmoni,” titah baginda.

 

Sempena program berkenaan Tuanku Syed Faizuddin diiringi Zull Aznam serta 150 peserta mengayuh basikal sejauh 18 kilometer yang turut disertakan dengan program “MAIPs Peduli” (Majlis Agama Islam Perlis) sambil menyampaikan bantuan.

 

Turut menerima bantuan ialah dua pesara tentera, seorang pesara polis zaman darurat Samat M. Hussin dan balu Allahyarham ASP Zulkifli Mamat yang terkorban dalam serangan pengganas di Lahad Datu, Sabah, Noor Aziah Mohd Noor. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.