Polis Cari Dua Lelaki Bantu Kes Hina Islam Menerusi Facebook

Georgetown – Polis mencari dua lelaki tempatan bagi membantu siasatan berhubung satu akaun Facebook yang memuat naik status menghina Islam dan Raja-Raja Melayu.

 

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalatrash Wahid berkata mereka yang beralamat di Pulau Pinang itu ialah B.Arulselvam, 29, dan Mohamad Azly Anuar, 22. Kedua-duanya tiada pekerjaan tetap.

 

“Berdasarkan siasatan kami dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), polis percaya dua lelaki terbabit dapat membantu kami dalam siasatan kes itu.

 

“Dua lelaki berkenaan adalah bekas pekerja kepada lelaki yang didakwa memuat naik status itu dalam akaun Facebooknya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

 

Status Facebook itu dikatakan memuat naik kata-kata kesat ekoran tidak berpuas hati dengan laungan azan yang didakwa mengganggu kehidupan penulis status itu dan menghina Raja-Raja Melayu.

 

Bagaimanapun, siasatan awal polis mendapati lelaki berusia 43 tahun itu mempunyai akaun Facebook tetapi dia tidak memuat naik sebarang status yang menghina Islam dan Raja-Raja Melayu, sebaliknya terdapat satu lagi akaun Facebook menggunakan gambar serta profil lelaki berkenaan yang baru dibuka 10 April lepas.

 

Mior Faridalatrash meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung dua lelaki berkenaan agar menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

 

Beliau berkata sehingga kini 22 laporan polis diterima daripada pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik berhubung kenyataan di laman sosial itu.

 

“Polis juga telah merekodkan keterangan daripada 22 individu termasuk pemilik akaun Facebook berusia 43 tahun yang bekerja sebagai pengurus di sebuah syarikat swasta bagi membantu siasatan kes berkenaan,” katanya. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.