#KitaLawan: 2 Pemimpin PAS Ditahan Polis

Kuala Lumpur – Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS Dr Dzulkefly Ahmad dan Bendahari Pemuda PAS Mohd Fakhrulrazi ditahan polis selama kira-kira 4 jam berhubung perhimpunan #KitaLawan pada 28 Mac lalu.

 

Dzulkefly berkata, polis memanggilnya, Mohd Fakhrulrazi dan Aiman Athirah Al Jundi daripada Dewan Muslimat PAS untuk memberi keterangan berkenaan perhimpunan itu, tetapi tidak jelas mengapa mereka dipanggil.

 

“Selma kami mendapat maklum mereka mahu kami membuat keterangan di Dang Wangi. Tidak tahu apa sebenarnya disabitkan dengan apa pun. Saya pun tidak dapat penjelasan sangat.

 

“Jadi pukul 12 tadi kami pergi tetapi Aiman tidak ada kerana dia outstation,” katanya kepada The Malaysian Insider.

 

Bekas ahli Parlimen Kuala Selangor itu berkata kedua-dua mereka berjumpa dengan ASP Ahmad Khairuddin Alias dan mereka disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan atas sebab disyaki terlibat dalam perhimpunan #KitaLawan.

 

“Kami ditangkap dan diambil keterangan. Dalam pukul 4 (petang) kami dibebaskan.

 

“Peguam Muhammad Fikah berhujah dengan baik dengan IO dan IO pun bertimbang rasa dengan penahanan kami. Sebab dia sudah mendengar segala ucapan-ucapan, IO sangat faham dengan kes ini. Jadi tidak dikenakan reman. Kami pun mohon supaya dilepaskan segera,” katanya.

 

Pada masa yang sama, beliau berkata, ketiga-tiga mereka akan dipanggil semula pada 17 Mei untuk kemaskini keterangan mereka di IPD Dang Wangi pada jam 9 pagi.

 

Dzulkefly berkata, bagi Aiman, beliau perlu menyerah diri kepada polis terlebih dahulu.

 

Sebelum ini, beberapa pemimpin Pakatan Rakyat ditahan berhubung perhimpunan #KitaLawan untuk membantah pemenjaraan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmataan (GST). – The Malaysian Insider

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.