Hudud PAS Bukan Hudud Islam – Dr Mahathir

PETALING JAYA – PAS hanya mahu melaksanakan undang-undang hudud semata-mata untuk kepentingan politik, menjadikannya tidak Islamik, dakwa Tun Dr Mahathir Mohamad.

 

Bekas perdana menteri selama 22 tahun itu berkata, beliau juga terkejut apabila Umno Kelantan menyokongnya dan berharap mereka memahami apa yang mereka lakukan.

 

“Hudud PAS bukan hudud Islam sebab ia sangat tidak adil, sedangkan Al-Quran menuntut keadilan apabila menghukum.

 

“Hukum potong tangan, rejam sampai mati dan penggal leher ke atas orang Islam tetapi mengenakan hukum yang amat ringan kepada orang bukan Islam dalam masyarakat yang sama amatlah tidak adil.  Justeru itu hudud PAS bukan hukum hudud Islam,” katanya dalam posting di blog beliau chedet.cc pada Rabu.

 

Dr Mahathir berkata bahawa niat politik PAS adalah jelas apabila presidennya Datuk Seri Hadi Awang pada tahun 2003 berkata bahawa parti itu akan bekerjasama dengan DAP untuk menjatuhkan Barisan Nasional walaupun ia bermakna mengorbankan agenda hudud mereka di peringkat Persekutuan.

 

Beliau berkata, akan terdapat bantahan keras jika undang-undang hudud juga digunakan kepada orang bukan Islam.

 

Beliau berkata di negara ini, undang-undang Islam pada masa ini hanya digunakan berkenaan urusan keluarga.

 

“Datuk Hadi berkata saya tidak tahu prinsip-prinsip Islam dan bukan seorang yang layak untuk bercakap mengenai hudud. Saya juga boleh mengatakan bahawa dia tidak tahu apa-apa mengenai pentadbiran dan tidak layak untuk mentadbir negara,” katanya.

 

Beliau menambah ramai orang yang berperang dan membunuh orang lain daripada agama yang sama fasih berbahasa Arab dan dipimpin oleh ulama.

 

“Adakah mereka tidak tahu pembunuhan tidak dibenarkan dalam Islam? Mereka mencipta jenayah mereka sendiri dan menjatuhkan hukuman yang bertentangan dengan keadilan sosial seperti yang dituntut oleh Islam,” katanya.

 

Beliau berkata terdapat juga mereka yang dibunuh kerana tidak memelihara janggut, menonton sukan atau tidak memakai hijab.

 

Beliau juga teringat satu kes di mana seorang wanita ditembak mati kerana zina.

 

“Prosiding dan lelaki itu tidak ditunjukkan. Hanya wanita yang telah ditembak. Adakah ini Islamik? Adakah ia adil?” kata beliau sambil menambah Islam tersebar secara meluas sebelum ini kerana imej yang baik.

 

Beliau berkata bahawa melakukan sesuatu yang akan merendahkan imej Islam di kalangan bukan Islam adalah bertentangan dengan agama. – Mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.