Hina Islam: NGO Dan Parti Politik Buat Laporan Polis

GEORGETOWN – Suasana di luar pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, di sini, semalam, kecoh seketika apabila lebih 50 individu berkumpul bagi membantah tindakan seorang lelaki, Ivan Goh Lee yang memuat naik status menghina Islam dan Raja-Raja Melayu dalam akaun Facebooknya.

 

Mereka yang terdiri daripada wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan UMNO Bahagian Bukit Bendera dilihat berkumpul sejak jam 11 pagi sebelum wakil masing-masing masuk membuat laporan polis.

 

Bagaimanapun, keadaan kemudian terkawal dan mereka hanya meluahkan rasa tidak puas hati dengan menjerit dan melaungkan takbir beberapa kali kerana begitu geram dengan tindakan terbabit yang dianggap satu penghinaan dan biadab.

 

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, setakat ini pihaknya sudah menerima 19 laporan berhubung isu berkenaan.

 

“Selain laporan tidak puas hati itu, kami turut menerima laporan daripada pemilik akaun Facebook terbabit iaitu seorang lelaki berusia 43 tahun yang mendakwa rumahnya dilontar batu, malam kelmarin.

 

“Dia membuat laporan kerana mendakwa ada individu yang membuka akaun Facebook terbabit menggunakan namanya,” katanya yang ditemui di pejabatnya, di sini, semalam.

 

Mior Faridalathrash berkata, siasatan polis mendapati memang wujud satu akaun lain menggunakan identiti serta foto lelaki terbabit.

 

“Kami dapati akaun itu dibuat pada awal bulan ini dan kita akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengesan individu yang membuka akaun berkenaan.

 

“Kami harap orang ramai bersabar dan tidak mengambil tindakan sendiri dan menyerahkan kes ini kepada polis untuk siasatan lanjut,” katanya.

 

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 298 (A) Kanun Keseksaan dan orang ramai diminta berhati-hati apabila menggunakan laman sosial kerana ada pihak dilihat cuba mengambil kesempatan dengan melakukan provokasi atau sebagainya.

 

Sementara itu, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera Abdul Jalil Ariffin berkata, pihaknya memandang serius tindakan lelaki berkenaan kerana kenyataannya boleh mencetuskan ketegangan di antara agama di negara ini.

 

“Kami membuat laporan kerana tidak berpuas hati dengan tindakan lelaki itu yang dilihat sangat biadab apabila mempertikaikan agama Islam, Raja-Raja dan orang Melayu.

 

“Berikutan itu, kami amat berharap polis menjalankan siasatan dengan segera dan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

 

Isu berkenaan timbul selepas satu akaun Facebook yang didaftar menggunakan nama Ivan Goh Lee yang tinggal di Tanjung Bungah, di sini, memuat naik kata-kata kesat kerana tidak berpuas hati dengan laungan azan yang didakwa mengganggu kehidupannya dan menghina Raja-Raja Melayu. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.