Ahli PAS Tolak Wan Azizah Kerana Tidak Sokong Hudud, Kata Pemimpin PAS

Seorang pemimpin PAS Permatang Pauh berkata penyokong parti Islam itu akan menolak pencalonan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada pilihan raya kecil (PRK) yang diadakan 7 Mei kelak, dengan alasan presiden PKR itu menolak pelaksanan hukum hudud.

 

“Kami bekerja bertemu rakyat, apabila ada suara-suara yang kononnya PKR akan meletakkan Wan Azizah sebagai calon, mereka tidak bersetuju.

 

“Wan Azizah juga pernah mengeluarkan kenyataan yang beliau menolak hudud sebelum ini, kena faham situasi di Permatang Pauh, di sini banyak madrasah dan sekolah agama di sini, dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Wan Azizah menyebabkan mereka tidak mahu beliau menjadi calon,” kata Ketua Penerangan PAS Permatang Pauh Jamsari Samad, seperti dilaporkan Sinar Harian hari ini.
Jamsari berkata, PAS mempunyai 30 cawangan di Permatang Pauh dan suara tidak puas hati itu dinyatakan semua wakilnya.

 

Sementara itu, Pemuda PAS Pulau Pinang pula memberi bayangan akan memboikot kempen PKR di Permatang Pauh sekiranya PKR dan DAP tidak menarik balik kritikan terhadap presiden mereka, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, ekoran tidak berpuas hati dalam isu hudud dan kerjasama dengan Umno.

 

“Kami sengaja tidak mahu menyertai jentera PKR bagi PRK Permatang Pauh kerana desakan kami supaya AMK dan DAPSY menarik balik kenyataan tidak dilayan sehingga sekarang,” Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang Mohd Yusni Mat Piah memberitahu Berita Harian hari ini, merujuk kepada Pemuda PKR dan DAP, sambil mendesak kedua-dua mereka menarik balik kenyataan jika mahu PAS membantu dalam PRK Permatang Pauh.

 

PRK Permatang Pauh diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja dipohon keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dipenjara lima tahun selepas disabitkan kesalahan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

 

Pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) lalu, Anwar memenangi kerusi Permatang Pauh dengan majoriti 11,721 menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Dr Mazlan Ismail dan calon Bebas, Abdullah Zawawi Samsudin.

 

Pada 2008, Dr Wan Azizah mengosongkan kerusi Parlimen Permatang Pauh bagi memberi laluan kepada suaminya, Anwar untuk bertanding kerusi tersebut.

 

Tindakan itu menyebabkan Dr Wan Azizah hilang kelayakan bertanding mana-mana pilihan raya selama lima tahun. – M.Insider

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.