22 Jam Mengharungi Laut Untuk Selamatkan Diri

SEPANG – Sejumlah 42 rakyat Malaysia yang dibawa keluar dari kawasan paling teruk dilanda pergolakan di Aden, Yaman selamat tiba di tanah air hari ini.

 

Kumpulan itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan pesawat Emirates Airlines penerbangan EK346 dari Dubai pada 3.18 petang tadi.

 

Ketibaan mereka disambut oleh Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh dan Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Abdul Rahim Bakri.

 

Mereka merupakan sebahagian daripada 67 pelajar Malaysia di Aden yang dijadualkan tiba di tanah air hari ini secara berperingkat.

 

Kumpulan seterusnya seramai 25 orang dijangka tiba pada 6 petang ini di KLIA dari Colombo dengan penerbangan SriLankan Airlines.

 

Kumpulan pelajar berkenaan sebelum ini terpaksa mengharungi perjalanan selama kira-kira 22 jam menaiki bot untuk tiba di wilayah Djibouti sebelum diterbangkan ke Jeddah, Arab Saudi menggunakan pesawat Hercules C130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

 

Mereka kemudiannya diterbangkan ke Dubai menaiki pesawat Emirates serta ke Colombo menggunakan penerbangan SriLankan Airlines sebelum  mengambil penerbangan ke Kuala Lumpur.

 

Sementara itu, Abdul Rahim yang ditemui berkata proses membawa pulang rakyat Malaysia itu bukanlah mudah untuk dikendalikan tanpa adanya hubungan rapat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan negara-negara Timur Tengah.

 

Beliau berkata, selain kerjasama erat antara Wisma Putra, Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Pertahanan, Kementerian Pendidikan dan Jabatan Perdana Menteri, Najib telah menggunakan hubungan rapat itu untuk mendapatkan bantuan bagi membawa keluar pelajar berkenaan.

 

Bagi pelajar Malaysia yang masih berada di sana, kerajaan akan terus membuat pemantauan situasi semasa pergolakan sebelum mengambil sebarang tindakan susulan, katanya.

 

Menurut Wisma Putra, sejumlah 673 rakyat Malaysia di Yaman telah dievakuasi dari empat bandar di negara berkenaan iaitu Sana’a, Hodeidah, Aden dan Hadramawt, sehingga kini. – Bernama/Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.