Najib Ke Turki Akan Tingkatkan Hubungan Dua Hala

ANKARA, 16 April (Bernama) — Lawatan rasmi tiga hari Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Turki bermula Rabu akan meningkatkan hubungan dua hala antara Malaysia dengan Turki, kata Duta Besar Malaysia ke Turki, Amran Mohamed Zin.

Beliau berkata misi lawatan itu adalah untuk meningkatkan jumlah perdagangan dan pelaburan Malaysia-Turki, di samping mengukuhkan rangkaian perniagaan antara sektor swasta kedua-dua negara.

“Lawatan ini bertujuan meluas dan mengeratkan lagi kerjasama antara Malaysia dengan Turki, di samping mewujudkan peluang bagi pemimpin kedua-dua negara bertukar-tukar pendapat dan mengeratkan persefahaman mengenai isu kepentingan bersama,” kata Amran kepada pemberita di Ankara, Rabu.

Perdana menteri diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan para pegawai kanan kerajaan.

“Lawatan ini akan meningkatkan lagi hubungan erat dua hala antara kedua-dua negara, terutama melalui penandatanganan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Turki,” kata Amran.

Upacara menandatangani perjanjian itu akan disaksikan Najib dan rakan sejawatannya daripada Turki Recep Tayyip Erdogan, yang mengundang perdana menteri melawat negaranya.

“Kedua-dua perdana menteri akan menyaksikan upacara menandatangani beberapa memorandum persefahaman antara institusi pengajian tinggi dan sektor swasta dari kedua-dua negara.

“Jumlah dagangan antara Malaysia dengan Turki tahun lepas ialah US$1.1 bilion (RM3.5 bilion). Malaysia dan Turki disasar meningkatkan jumlah dagangan kepada US$5 bilion (RM11 billion) dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

Amran berkata FTA berkenaan bukan sahaja akan memberi manfaat kepada syarikat kedua-dua negara, tetapi juga menarik pelabur untuk menempatkan operasi mereka di Ankara bagi meraih lebih banyak manfaat daripada FTA itu.

Duta Besar Malaysia itu berkata perdana menteri dijadual tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Esenboga, Ankara, pada 11 malam Rabu (4 pagi waktu Malaysia pada 17 April) dari Kuala Lumpur.

Esok, (Khamis), Najib dijadual mengunjungi Presiden Turki Abdullah Gulan dan bertemu Erdogan untuk mengadakan mesyuarat tertutup, diikuti mesyuarat delegasi kedua-dua pihak.

Najib dijadual menyampaikan syarahan bertajuk ‘Malaysia-Turkey Strategic Partnership in a Globalising Asia’ di satu majlis anjuran Foundation for Political, Economic and Social Research and International Strategic Research Organisation of Turkey, dengan kerjasama Yayasan Penyelidikan Mengenai Transformasi Malaysia.

Beliau dijadual menyampaikan ucap utama di majlis meja bulat makan tengah hari anjuran Union Chambers and Commodity Exchanges of Turkey dan Foreign Economic Relations Board, dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

–BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.