KUALA LUMPUR, — Parti Tindakan Demokratik (DAP) sekali lagi menegaskan sokongan padu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, berjanji tidak akan mengkhianatinya.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, memberi jaminan bahawa pergolakan politik seperti Langkah Sheraton pada Februari 2020 tidak akan berulang, kerana Malaysia kini berada di landasan yang betul di bawah kepimpinan Anwar.
“Dalam hampir 28 bulan, Anwar telah memulihkan kestabilan politik. Kerajaan Madani kini lebih kukuh dan selamat.
“Saya berbangga untuk mengatakan bahawa DAP telah menyumbang kepada kestabilan ini. Kami telah berdiri teguh bersama Anwar sejak beliau mengangkat sumpah kami adalah rakan sejati.
“Walaupun menghadapi cabaran, kami akan mempertahankan kesetiaan dan perpaduan,” katanya dalam ucapan utama di Kongres DAP ke-18 di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam, hari ini.
Terdahulu, Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng, turut menegaskan kesetiaan parti itu kepada Anwar sebagai sekutu yang dipercayai dalam ucapannya kepada para perwakilan.