Kerajaan Johor Lambat Bertindak, Saranan Tutup Pintu Tak Selesai Masalah – Penduduk

PASIR GUDANG – Golongan suri rumah tidak bersetuju dengan pandangan Menteri Besar, Datuk Osman Sapian yang menyarankan mereka menutup pintu dan tingkap bagi mengelakkan udara tercemar dengan toksik masuk ke rumah.

Menurut mereka, cadangan tersebut disifatkan sebagai tidak masuk akal kerana keadaan itu akan menyebabkan ahli keluarga ‘lemas’ dan tidak selesa berada dalam rumah.

Seorang suri rumah, Aria Jaafar, 40, dari Cahaya Masai di sini berkata, sebenarnya masalah udara tercemar boleh diatasi sekiranya kerajaan negeri cepat bertindak.

“Isunya bukan perlu tutup pintu atau tingkap tapi kerajaan negeri lambat bertindak apabila pencemaran berlaku pada Khamis lalu.

“Jadi jangan menyalahkan rakyat apabila kejadian seperti ini berlaku,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Cahaya Masai di sini sebentar tadi.

Sebelum ini Osman berkata, penduduk di kawasan perumahan terbabit tidak terjejas dengan pencemaran kimia yang berlaku kerana rumah mereka mempunyai pintu yang boleh ditutup dan penduduk pula tidak keluar ketika siang hari.

Osman menjawab demikian apabila ditanya oleh wartawan sama ada penduduk di kawasan perumahan yang berhampiran dengan sungai tercemar dengan bahan kimia tersebut perlu dipindahkan.

Seorang lagi suri rumah, Zaleha Nagoor Ghani, 35, dari Taman Tanjung Puteri Resort berkata, saranan tutup pintu dan tingkap tidak relevan untuk dilaksanakan.

Dia berpendapat, cara tersebut tidak praktikal dan tidak menyelesaikan masalah sedia ada kerana udara tidak boleh disekat-sekat.

“Saya sendiri sudah mengalami cirit-birit semalam dan harini pula saya sudah muntah-muntah dengan mengeluarkan buih putih,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.