‘Emma Ajar Saya Hargai Wanita’

KUALA LUMPUR: Pelakon, Kamal Adli, menyifatkan kegagalan dalam beberapa percintaan lalu berpunca daripada dirinya yang kurang prihatin terhadap pasangan.

Menurut aktor berusia 31 tahun itu, perpisahan dialaminya sebelum ini mungkin berlaku apabila beliau sentiasa berada di zon selesa dalam perhubungan.

Begitupun, katanya, sejak akrab dengan Emma Maembong, 24, pelakon wanita itu membuka matanya mengenai peri penting menghargai dan bersikap prihatin terhadap orang disayangi.

“Emma membuka mata saya untuk menjadi lelaki yang bersyukur dan menghargai kehadiran pasangan kita.

“Janganlah pada awal perkenalan saja kita bersungguh-sungguh cuba mengambil hati dan selepas berada di zon selesa, kita mengabaikan dirinya. Itulah diri saya sebelum ini,” katanya kepada BH Online.

Kamal berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran Rantaian Drama Melayu Terhebat Masa Kini Astro di sini, petang tadi. Sebagai lelaki, beliau kini lebih memahami mengenai wanita yang inginkan penghargaan dan perhatian dalam perhubungan.

“Percayalah, jika seorang lelaki sentiasa menghargai dan prihatin terhadap pasangannya, si dia takkan meninggalkan dirinya,” ujar beliau lagi.

Sementara itu, ditanya pula mengenai hala tuju perhubungannya dengan Emma, Kamal berkata mereka masih akrab. “Kami menjalinkan hubungan yang matang dan tiada sorok-sorok.

Jika ada jodoh, kami menerimanya. “Cuma, kami rasa lebih selesa andai perhubungan ini kurang menjadi bualan ramai.

Apatah lagi ada segelintir pihak yang suka membandingkan pasangan pelakon lain dengan kami. Takut nanti orang benci pula,” tuturnya.

Gosip keintiman Kamal dengan Emma mula diperkatakan apabila gambar memaparkan kemesraan antara mereka muncul di media sosial sekitar pertengahan 2015.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.