Video: Tidak Perlu RCI Banjir – PM

Kuala Lumpur – Kerajaan berpendapat tiada keperluan untuk membentuk Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi mengkaji kelemahan dan kekurangan dalam pengurusan banjir yang melanda negara pada Disember lepas.

 

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata bagaimanapun kerajaan akan mengkaji Peraturan Tetap Operasi (PGO), pengendalian bencana banjir dan Prosedur Operasi Standard (SOP) melibatkan agensi kerajaan yang terlibat dalam bencana alam.

 

 

“Ia harus dikaji dan disemak supaya agensi pelaksana dapat melaksanakan dan mengambil tindakan dalam situasi banjir dan air yang naik dengan pantas,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) mengenai cadangan penubuhan RCI dan keperluan kajian SOP dalam kejadian banjir di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

 

Najib berkata berdasar pengajaran daripada bencana banjir itu, beberapa isu telah dikenal pasti dan perlu ditambah baik antaranya peningkatan kompetensi dan kemahiran kepimpinan dalam agensi dan jawatankuasa peringkat daerah, negeri dan peringkat pusat.

 

“Kaedah perintah dan kawalan, penggunaan sistem amaran yang lebih tepat dan lebih lama serta menyediakan logistik yang bersesuaian bagi operasi mencari dan menyelamat dalam keadaan bencana ekstrem,” katanya.

 

Najib berkata ini termasuk keperluan perolehan aset bot penyelamat yang berkeupayaan tinggi, jenis helikopter, penempatan pegawai berkemahiran dalam pengurusan di peringkat daerah dan negeri bagi memastikan penyelarasan operasi serta bantuan banjir dapat dilaksana dengan lebih berkesan.

 

Katanya, untuk jangka masa sederhana dan panjang, kerajaan akan melaksanakan projek-projek pencegahan banjir terutama yang mampu menghasilkan pendapatan seperti pembinaan empangan yang mampu menjana pendapatan elektrik.

 

Selain itu, kerajaan sedang mengkaji model terbaik pengurusan bencana yang dipraktikkan oleh negara yang sering dilanda malapetaka, katanya.

 

“Sebagai kesimpulan perlu ditegaskan sebarang bentuk pembangunan mestilah bersifat lestari dan mampan yang merangkumi pelaksanaan projek-projek pembangunan, perlombongan dan pembukaan tanah dan pembalakan,” katanya.

 

BERITA LANJUT MENYUSUL

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.