Tentera Malaysia Tak Dihantar Perangi IS

Kuala Lumpur – Kerajaan tidak akan menghantar anggota tentera atau senjata untuk menyertai usaha masyarakat antarabangsa memerangi militan IS, sebaliknya lebih memberi fokus untuk membendung pengaruh IS terhadap rakyat di negara ini.

 

Kementerian Pertahanan dalam jawapan bertulis bagi menjawab pertanyaan Teresa Kok, (DAP-Seputeh) berkata, peranan kerajaan adalah dengan berdiri teguh bersama-sama dengan masyarakat antarabangsa untuk menentang IS.

 

Jelasnya lagi, ia selaras dengan resolusi dan pendirian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

 

“Dalam keghairahan sebilangan negara-negara antarabangsa bertindak langsung ke atas IS, kerajaan lebih memberi fokus kepada rakyat tempatan yang cenderung terhadap pengaruh IS di dalam dan luar negara.

 

“Sebelum ini melalui pembentangan kertas putih di sidang Parlimen ke-13 pada 26 November lalu, kerajaan sudah nyatakan secara tegas menolak sebarang gerakan perjuangan IS,” katanya seperti yang dipetik menerusi petikan tersebut.

 

Menerusi laporan Bernama pada 4 Mac lalu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman Senior Asisten Komisioner (SAC), Datuk Ayub Khan Mydin Pitchay mengesahkan jumlah keluarga dari Malaysia yang menyertai kumpulan militan (IS) semakin meningkat dan sekurang-kurangnya lapan keluarga telah berada di Syria ketika ini.

 

Ayub Khan berkata, setakat ini, sekurang-kurangnya 500 akaun Facebook yang dikenal pasti menjalankan aktiviti mempromosi, merekrut serta cubaan untuk menggalakkan rakyat Malaysia untuk berjuang di Syria.

 

Jelasnya lagi, tidak ada sebarang tanda aras menunjukkan bahawa penglibatan rakyat Malaysia dengan IS berkurangan walaupun banyak tangkapan dan operasi dijalankan dengan penglibatan remaja berusia 20-an, adalah paling tinggi.

 

Ketika ini, 61 rakyat Malaysia dikesan berada di Syria menyertai kumpulan militan IS dan daripada jumlah itu seramai 10 orang adalah wanita manakala tangkapan terkini terhadap mereka yang disyaki terlibat dengan IS di negara ini mencecah 71 orang.

 

Kementerian Pertahanan dalam jawapan bertulisnya menambah, kerajaan sentiasa memantau segala bentuk ancaman yang memberikan kesan ke atas keselamatan negara.

 

“Sebarang bentuk ancaman secara langsung atau tidak langsung berupaya memberi impak besar kepada keselamatan dunia amnya dan negara khasnya. Kekejaman yang dilakukan IS tidak dapat diterima sama sekali,” tegasnya. – Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.