Polis Dan Tentera Indonesia Yang Menceroboh Dibebas

KOTA KINABALU – Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilapor telah membebaskan 14 daripada 17 warga Indonesia yang menceroboh sempadan Malaysia di Pulau Sebatik, Tawau.

 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polis Sabah, Datuk Salehhudin Abd Rahman yang mengesahkan perkara itu berkata mereka dibebaskan semalam di sempadan Indonesia-Malaysia.

 

Beliau berkata pembebasan itu dibuat ekoran permohonan maaf pihak Polis Republik Indonesia (POLRI) dan Tentera Nasional Indonesia (TNI).

 

“Selepas permohonan maaf, beberapa faktor turut dipertimbangkan dalam membebaskan mereka, antara lain hubungan diplomatik yang telah lama terjalin serta memorandum persefahaman sempadan kedua-dua negara,” katanya.

 

Yang ditahan Jumaat lalu itu terdiri daripada 17 warga Indonesia termasuk 10 anggota polis dan empat anggota tenteranya kerana dipercayai menceroboh masuk sempadan di Pulau Sebatik, Tawau dengan membawa senjata api.

 

Salehhudin berkata tiga lagi orang awam yang turut menceroboh masih ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen.

 

“Mereka masih ditahan bersama seorang suspek warga Indonesia yang dikehendaki POLRI berhubung kes bunuh anggota TNI,” katanya.

 

Pencerobohan dilapor dilakukan kerana mereka dipercayai mahu mengecam dan mengambil semula seorang suspek kes bunuh anggota tentera republik itu, yang ditangkap PDRM pada 10 Mac.

 

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim sebelum ini dilapor sebagai berkata tindakan itu menyalahi undang-undang kerana mereka memasuki Malaysia tanpa melalui prosedur imigresen yang betul selain membawa masuk senjata api.- Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.