Polis Buka Semula Siasatan Kematian Teoh Beng Hock

KUALA LUMPUR – Polis membuka semula siasatan serta merta dan menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat kes kematian Teoh Beng Hock.

 

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata ia dibuka semula selepas mendapat arahan Jabatan Peguam Negara dan siasatan menyeluruh juga masih dijalankan.

 

“Justeru, tidak timbul isu pihak berkuasa, khususnya pihak PDRM (Polis Diraja Malaysia) dalam kes ini tidak mengambil sebarang tindakan atau ingkar arahan Mahkamah Rayuan.

 

“Bagi memastikan keadilan kepada semua pihak, termasuk keluarga mendiang Beng Hock, PDRM memerlukan masa untuk menjalankan siasatan dari pelbagai sudut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

 

Mahkamah Rayuan pada September tahun lalu menukar keputusan terbuka dalam kes kematian Beng Hock dan memutuskan bahawa kematiannya itu akibat tindakan menyalahi undang-undang oleh seorang atau beberapa orang yang tidak dikenali.

 

Mengulas lanjut, Khalid berkata pihaknya dari semasa akan turut memaklumkan kepada pendakwaraya berhubung status hasil siasatan yang sedang dijalankan.

 

Justeru, katanya, semua pihak diharap memberi kerjasama bagi membolehkan pihaknya menjalankan siasatan dengan baik dan tidak mempolitikkan isu ini.

 

“Diingatkan juga supaya (semua pihak) tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan rakyat dan menjejaskan reputasi agensi penguatkuasa,” katanya. – BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.