Petronas Pemangkin Kejayaan Pasukan Mercedes AMG

Kuala Lumpur – Petronas merupakan pemangkin utama kejayaan pasukan Mercedes AMG Petronas dalam perlumbaan Formula One (F1) dengan mencipta produk setaraf kualiti antarabangsa.

 

Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Kumpulan Petronas, Norliza Kamaruddin berkata ia hasil daripada penggunaan teknologi minyak diesel Petronas Primax, minyak pelincir Petronas Syntium dan bendalir hidraulik Petronas Tutela yang digunakan pada kereta lumba pasukan Mercedes AMG Petronas.

 

“Ketiga-tiga komponen itu telah menjadi ‘Petronas Fluid Technology Solutions’ yang digunakan oleh kereta lumba pasukan kami sejak tahun lepas, sekali gus memberikan kemenangan pada perlumbaan F1 di Grand Prix Australia pada kali ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis tayangan iklan komersial televisyen (TVC) kempen ‘The Winning Formula’ 2015 F1, di sini, hari ini.

 

TVC pertama yang bertajuk ‘How Far We Go’ telah disiarkan pada 13 Mac (Jumaat) lepas manakala TVC kedua yang bertajuk Why Do We Race” pula akan dilancarkan pada 27 Mac ini dan boleh ditonton di www.petmos.com.my.

 

“TVC ini memfokuskan kepada kejayaan Petronas dalam membangun dan menghasilkan minyak diesel dan pelincir sehingga menjadi formula kejayaan kepada pasukan Mercedes AMG Petronas,” katanya.

 

Pemandu Britain, Lewis Hamilton daripada Mercedes AMG Petronas menjuarai perlumbaan pembukaan F1 musim ini di Melbourne, Australia hari ini dengan menewaskan rakan sepasukan Nico Rosberg.

 

Menurut Norliza, litar F1 adalah satu platform yang bagus untuk menguji produk-produk yang dihasilkan bagi kegunaan pelumba dan juga pengguna di jalan raya.

 

Selain itu, Petronas turut menjalinkan kerjasama pada perlumbaan F1 kali ini dengan mencipta enjin kereta keselamatan yang digunakan semasa perlumbaan tersebut buat pertama kalinya.

 

Sementara itu, mengulas mengenai hubungan Petronas bersama pelumba-pelumba F1 Mercedes AMG Petronas, Norliza berkata pihaknya akan meneruskan kontrak bersama pasukan tersebut dalam tempoh yang lama.

 

“Ini memandangkan pasukan tersebut mempunyai kekuatan dan potensi yang baik untuk mengekalkan kejuaraan mereka dalam perlumbaan F1 sebelum ini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.