Nurul Izzah Bermalam Di Lokap Jinjang Kerana Menghasut

Kuala Lumpur – Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar ditahan mengikut Akta Hasutan di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur dan akan ditahan reman satu malam di lokap Jinjang.

 

PKR dalam satu kenyataannya berkata, “Nurul Izzah ditahan reman satu malam, akan dibawa ke lokap Jinjang. Pendengaran reman akan diadakan esok jam 10 pagi. Maklumat lanjut menyusul.”

 

Menerusi akaun Twitternya @n_izzah, Nurul Izzah berkata: “ASP Muniandy memaklumkan saya ditangkap di bawah arahan Dt Azam, Ketua Penolong Pengarah D5, Bkt Aman”.

 

Terdahulu, ahli Parlimen Lembah Pantai yang juga anak sulung Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim itu diarahkan memberi keterangan di balai polis berkenaan.

 

Nurul Izzah pada jam 2.30 petang tadi memberitahu pemberita polis memberikan notis kepadanya untuk memberi keterangan berkaitan Seksyen 4(1) Akta Perhimpunan Aman 2012.

 

“Apa yang mengejutkan ialah kehadiran ASP Muniandy serta 2 kereta pihak polis pada Jumaat lepas di kediaman ayahanda saya di Segambut.

 

“Saya akan masuk tidak tahu berapa lama,” katanya.

 

Nurul Izzah Ditahan Jinjang

Ahli Parlimen Subang R Sivarasa yang turut menemaninya ketika itu juga mempertikaikan tindakan polis terhadap Nurul Izzah.

 

Katanya, tindakan 4 anggota polis yang menunggu di luar rumah itu merupakan satu ugutan.

 

“Soalan yang kita akan tanya kepada polis ialah kenapa mereka terlalu ghairah untuk pergi ke rumah Nurul Izzah? Sebab dia bukan peragut beg, perompak atau penjenayah yang akan melarikan diri.

 

“Ia merupakan ugutan, 4 anggota polis tunggu di rumah. Tingkah laku ini tidak boleh diterima.

 

“Izzah ialah ahli Parlimen Lembah Pantai dan ini merupakan layanan yang tidak profesional dan berbaur politik,” katanya.

 

Izzah turut mempersoalkan mengapa tindakan sedemikian rupa hanya diambil terhadap ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) dan bukannya terhadap pemimpin Umno seperti Ketua Wanita Umno Baling Datuk Dr Mashitah Ibrahim dan Menteri pertanian dan industri asas tani Datuk Seri Ismail Sabri.

 

“Gesaan saya cuma satu, mengapa tindakan diambil terhadap ahli Parlimen PR dan bukannya Dr Mashitah, Ismail Sabri yang sehingga hari ini mengeluarkan kenyataan benar-benar membangkitkan kemarahan.

 

“Kita mahu polis bertindak dan berkhidmat untuk rakyat dan bukannya Umno, Najib dan konconya,” katanya.

 

Himpunan #KitaLawan diadakan pihak pembangkang setiap Sabtu di depan Kompleks Sogo, Kuala Lumpur sejak Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan sabitan bersalah Anwar dan dihukum penjara 5 tahun atas kesalahan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

One thought on “Nurul Izzah Bermalam Di Lokap Jinjang Kerana Menghasut

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.