LIMA’15: Jupiter Aerobatic Team Tarik Diri

LANGKAWI – Pasukan Jupiter Aerobatic Team daripada Angkatan Udara Tentera Nasional Indonesia (TNI-AU) membuat keputusan menarik diri daripada Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi 2015 (LIMA’15) selepas empat daripada juruterbangnya terbabit dalam kemalangan ketika melakukan latihan aerobatik semalam.

 

Marshall Pertama TNI-AU, Indra Yadi, mengesahkan keputusan itu dan berkata pasukannya akan menarik diri daripada acara dwitahunan itu ekoran kemalangan semalam.

 

“Kemalangan boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa sahaja. Insiden ini tidak akan melemahkan semangat kami untuk terbang. Angkatan Udara Indonesia akan terus berada di sini bagi acara ini (LIMA’15 ).

 

“Hanya Jupiter Aerobatic Team akan pulang ke Indonesia,” katanya kepada pemberita selepas mengunjungi empat juruterbang itu di Hospital Langkawi di sini hari ini.

 

Indra adalah pemerhati dari Angkatan Udara Indonesia yang turut melakukan penerbangan bersama-sama juruterbang terbabit ketika melakukan latihan.

 

Beliau berkata, TNI-AU bersimpati dengan pemilik rumah yang kediamannya musnah apabila pesawat berkenaan terhempas di atasnya.

 

Sementara itu, Pengarah Hospital Langkawi, Dr Mansor Ismail, berkata keempat-empat juruterbang Indonesia itu yang mengalami kecederaan ringan dalam kemalangan itu akan dibenarkan keluar hari ini.

 

Semalam, Menteri Pertahanan Indonesia, Ryamizard Ryacudu dan rakan sejawatannya dari Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, mengunjungi juruterbang yang cedera itu.

 

Dua pesawat Jupiter itu terhempas di Pemandangan Indah, Padang Mat Sirat dan Kampung Gelam, Kedawang berhampiran lapangan terbang kira-kira 2 petang semalam. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.