Kritikan Tun M Tidak Jejas Sokongan Terhadap Najib

Kuala Lumpur – Di sebalik kritikan keras Tun Dr. Mahathir Mohamad terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia itu terus menerima sokongan daripada pemimpin-pemimpin UMNO.

 

Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Hasan Malek berkata Tun Mahathir dan pengkritik-pengkritik Najib yang lain perlu memberi kebebasan kepada ahli Parlimen Pekan itu untuk mentadbir negara.

 

Kata Hasan, Najib mempunyai sokongan kukuh yang diperlukan dari UMNO ketika ini setelah menunjukkan kemampuan mentadbir kerajaan dan parti dengan baik di sepanjang perkhidmatannya.

 

“Najib telah memperkenalkan pelbagai strategi yang berkesan dan telah banyak berjasa kepada negara, beliau telah membuktikan dirinya sebagai seorang pemimpin dan telah menjalankan tugas dengan baik.

 

“Sekiranya Tun Dr Mahathir ingin suarakan sesuatu dan kurang senang (dengan tindakan Najib), beliau sepatutnya bersemuka dengan Najib dan bukan (mengkritik) di media sehingga mengeruhkan hubungan dalam UMNO, cukup cukuplah, kita memerlukan sokongan penuh untuk mencapai Wawasan 2020,” katanya.

 

Sementara itu Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee pula menganggap kritikan-kritikan Tun Dr Mahathir sebagai nasihat seorang ayah kepada anaknya.

 

“Marah seorang ayah ini ada macam-macam cara. Ada yang memberi nasihat malah ada juga yang sehingga memukul.

 

“Apa yang penting sekarang ini ketua-ketua bahagian UMNO memainkan peranan dalam membantu pentadbiran Perdana Menteri.

 

“Kalau kita tengok sekarang ini, sokongan ketua-ketua bahagian UMNO terhadap Perdana Menteri dan parti berada pada tahap terbaik,” ujarnya.

 

Dalam pada itu ahli Parlimen Kulim-Bandar Baru, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir pula merasakan tidak semua perkara yang dibangkitkan oleh Tun Mahathir mempunyai asas terutamanya yang melibatkan dasar Melayu.

 

Jelasnya, secara keseluruhan beliau melihat tindakan-tindakan yang dibuat oleh Najib memerlukan masa untuk melihat hasilnya.

 

“Dari segi dasar beliau (Najib) yang kononnya dilihat Tun Mahathir sebagai tidak beri penekanan kepada ekuiti Melayu, itu tidak betul.

 

“Kita tahu banyak penekanan dibuat, beri banyak muka pada bukan Melayu juga itu tidak betul, kita tidak boleh lihat satu dua perkara itu menunjukkan kerajaan berlembut.

 

“Sebagai parti politik, kita kena mengimbangkan kekuatan kita, jika kita terlampau ultra Melayu kita tidak akan menang juga, apa guna kita bersorak kalau kita kalah pilihan raya,” katanya.

 

Bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah dilaporkan berkata usaha Tun Dr Mahathir untuk menjatuhkan Najib dalam masa terdekat tidak akan berjaya disebabkan kuasa mantan perdana menteri dan presiden UMNO itu yang semakin lemah.

 

“Saya tidak kira Mahathir berjaya untuk menjatuhkan Najib kerana beliau sendiri tidak cukup kuasa untuk berbuat begitu.

 

“Apa lagi kalau usaha itu hendak dibuat menerusi undi tidak percaya menerusi Parlimen, ia sukar menjadi kenyataan,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Mohd Sayuti Omar dalam blognya, Merah Tinta MSO.

2 thoughts on “Kritikan Tun M Tidak Jejas Sokongan Terhadap Najib

  • March 8, 2016 at 7:37 pm
    Permalink

    Bersemuka …nothing to hide pun najib tak hadhir
    ……

    Reply
  • November 15, 2018 at 9:11 pm
    Permalink

    Makin jauh kusam kelam pudar rosak parti korup?? Usah mimpi nk pulih ?? Junam dah jatuh teruk?? Ahli2 ramai sudah tinggalkan ?? Dlm mahkamah nanti tk bolih tipu setelah angkat sumpah?? Baru kita semua tahu apa yg disorok selama ini?? Tepislah elaklah tk ngakulah ….bolih ke tepis?? Smga terbukti salahlaku mereka2 semua!!

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.