Khalid Samad Selar MB Kelantan

Shah Alam – Anggota Jawatankuasa PAS Pusat, Khalid Samad menyelar kenyataan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob yang menyatakan tiada keperluan menukar presiden parti itu baru-baru ini.

 

Khalid berkata, tindakan Ahmad, yang juga Timbalan Mursyidul Am PAS, bercanggah dengan kenyataan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini yang terbuka dengan pertandingan terhadap jawatan yang ditandingnya.

 

Pada Khamis lepas Hadi menyatakan beliau bersedia dicabar pada muktamar tahunan parti itu yang ke-61 Jun depan sekiranya pertandingan itu mendapat sokongan anggota parti.

 

Khalid berkata, kenyatan Ahmad itu memberikan imej negatif kepada parti tersebut sedangkan Abdul Hadi telah menyatakan keterbukaannya untuk dicabar, lapor Bernama.

 

“Kenyataan (Ahmad) itu seolah-olah menunjukkan Hadi tidak mendapat sokongan daripada anggota PAS.

 

Pemilihan jawatan presiden tidak seharusnya tertumpu kepada kehebatan ilmu seseorang pemimpin, sebaliknya lebih kepada kualiti kepemimpinan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Mesyuarat Agung Tahunan PAS kawasan Shah Alam.

 

Beliau berkata, demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ahmad yang mahu Hadi dikekalkan sebagai Presiden PAS kerana mampu menjalankan tanggungjawab dengan baik dalam menghadapi pelbagai situasi.

 

Khalid yang juga Anggota Parlimen Shah Alam berkata, anggota PAS seharusnya diberi peluang memilih calon yang disukai bagi jawatan presiden parti itu seperti yang termaktub dalam undang-undang parti.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.