Kejayaan Besar Anwar Merosakkan PAS – Zainuddin Maidin

Kuala Lumpur – Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin menyatakan kejayaan besar Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah menyeludup masuk golongan progresif dan dinamik ke dalam parti PAS serta menggerakannya bagi memprojekkan golongan ulama sebagai fanatik dan taksub yang tidak lagi sezaman.

 

Beliau berkata, penghinaan pandangan golongan itu di dalam PAS terhadap golongan ulama dapat dilihat menerusi peguam PAS, Hanifa Maidin yang menggangap ustaz-ustaz di dalam parti itu hanya pandai menghafal al-Quran dan Hadis.

 

Tambahnya, Hanifa sendiri menyatakan ustaz-ustaz itu tidak mempunyai minda analisis, kepelbagaian, gagal memahami realiti dan dalam keghairahan untuk menegakkan kerajaan negara Islam utopia dan murni menjadikan mereka pelampau.

 

“Sebenarnya pandangan Hanifa Maidin itu sama dengan pandangan UMNO selama ini terhadap PAS yang menyebabkan UMNO dituduh sebagai sekular. Sekarang tugas mensekularkan PAS dijalankan dari dalam PAS sendiri.

 

“PAS sekarang berada dalam keadaan porak peranda, pecah belah dan tergugat sama seperti UMNO ketika Anwar disingkirkan tetapi kebijaksanaan dan kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad berjaya mengekalkan perpaduan pucuk pimpinan UMNO namun kerosakan yang ditinggalkannya menghakiskan kekuatan UMNO dan perpaduan Melayu hingga sekarang,” katanya.

 

Beliau yang menulis menerusi entri terbaru zamkata.blogspot.com menambah, PAS kini tidak lagi dilihat sebuah parti yang dihormati dalam Pakatan Rakyat sebaliknya bergantung kepada belas kasihan DAP dan PKR, malah terdapat seorang dua pemimpinnya bergantung rezeki hidup kepada DAP.

 

“Strategi pucuk pimpinan ulama PAS masih tetap di takuk lama, bersabar untuk masa depan yang cerah tanpa sedar bahawa kesabaran inilah yang semakin menggelapkan PAS. Menyedari hakikat ini, Anwarinas menjadi semakin agresif untuk menyingkirkan kepimpinan ulama PAS.

 

“Generasi baru dalam PAS sewajarnya berterima kasih kepada banduan Anwar Ibrahim kerana beliau telah berjaya meninggalkan padang perjuangan yang mantap untuk mereka terus berjuang bagi memberikan imej baru kepada PAS, menjadikannya lebih realistik dan relevan sepanjang zaman,” ujarnya.

 

Zainuddin yang merupakan bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu berkata, walaupun Anwar gagal meruntuhkan UMNO tetapi beliau melihat belum pasti Anwar tidak akan berjaya dalam menghapuskan imej PAS sebagai parti jumud, taksub, fanatik, kolot dan kuno di bawah pimpinan orang-orang yang hanya tahu menghafal al-Quran dan Hadis.

 

“Seluruh ahli PAS sewajarnya mengenang budi besar Anwar Ibrahim yang sedang merengkok dalam penjara Sungai Buloh kerana beliau telah mewariskan kebangkitan revolusi sosial yang besar dalam PAS yang memisahkan golongan konservatif, jumud dan kolot dengan golongan progresif dan dinamik dalam parti itu,” katanya.

 

Katanya, kemuncak kepada revolusi dalam PAS apabila terdapat kenyataan terus terang beberapa orang pemimpin parti itu yang mahu kepimpinan ulama yang kini disandang oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dicabar dan disingkirkan.

 

“Haji Hadi akan menerima nasib yang sama seperti Datuk Asri yang disingkirkannya kerana memimpin golongan assabiyah yang lebih mengutamakan nasionalisme Melayu dari keIslaman sejati,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.