‘Hanya Ambil Klip Pendek’ – Ustaz Kazim Elias

JASIN – Pendakwah bebas, Datuk Mohamad Kazim Elias mendakwa klip video yang disiarkan di YouTube dimanipulasi sesetengah pihak sehingga menimbulkan dakwaan bahawa beliau sebagai penyebar hadis dan riwayat palsu.

 

Pengasas Pusat Pendidikan Al-Barakah, Perak itu dalam ceramah agamanya malam semalam mengambil kesempatan itu untuk menjelaskan kekeliruan itu bagi membersih namanya.

 

Beliau berkata, kenyataan yang disiarkan dalam klip video di Youtube tidak dipetik dari awal sehingga menyebabkan mudah dimanipulasi sesetengah pihak.

 

“Orang tak nak dengar ceramah saya (dari awal), tapi hanya menontonnya di Youtube yang disiarkan berdurasi pendek dan menyebarkannya,” katanya ketika berceramah di padang Sekolah Kebangsaan Serkam Darat, di sini, anjuran Jawatankuasa Penyelaras dan Pembangunan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Serkam, malam semalam.

 

Mohamad Kazim menjelaskan, kenyataan roti jala dan kari kambing yang disebutkan dalam video berkenaan adalah perumpamaan kepada makanan Nabi Muhammad SAW yang paling mahal iaitu tepung yang dicampur dengan madu dan kurma dan dibakar menggunakan minyak zaitun.

 

“Kalau saya sebut ‘thawiq’ orang tak faham. Dalam sebuah kitab ada menyebut Nabi Muhammad memakan roti daripada tepung dan labu yang dikiraikan dan dimakan dengan air rebusan daging yang dijadikan gulainya.

 

“Kalau roti yang dibuat daripada tepung, dicampur dengan air dan garam, dikiraikan dan dimakan berkuahkan daging, di sini panggil roti jala. Orang Arab sebut thawiq dan orang Makkah pula panggil fattih.

 

“Semua itu disebut dalam kitab. Dalam hal ini menunjukkan Nabi Muhammad adalah insan yang paling ‘sempoi’ (mudah),” katanya. – HMetr0

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.