Bukan Melayu Disekat Naik Pangkat Hanya Mitos

Kuala Lumpur – Apakah benar bukan Melayu yang berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) disekat kenaikan pangkat?

 

Apakah dakwaan ini yang menyebabkan kurangnya minat mereka menyertai tentera?

 

Menafikan hal ini, Pengarah Kanan Strategi Lautan Biru Kebangsaan Tentera Darat, Brigedier Jeneral Toh Choon Siang berkata, dakwaan itu hanya mitos semata-mata.

 

“Ini perlu diberi kesedaran. Selain itu, saya melihat apa yang perlu dilakukan ialah laksanakan lebih banyak ‘pull factor’ bagi menarik minat mereka dan saya percaya ini sedang dilakukan,” katanya.

 

Beliau berkata, sebagai negara dengan rakyat berbilang kaum, mempertahankan negara adalah tanggungjawab semua.

 

Namun begitu beliau menegaskan semangat patriotisme perlu dilihat di semua sudut, bukan sahaja melalui uniform.

 

Choon Siang, yang juga Pengerusi Kaum Cina Tentera Darat memberi pandangannya dalam temu bual khas dengan Bernama baru-baru ini.

 

Beliau bagaimanapun mengakui agak sukar untuk melihat penyertaan kaum Cina di dalam bidang ketenteraan kini, terutama di peringkat pangkat yang lebih rendah.

 

Bapa kepada sepasang cahaya mata itu berkata, semasa beliau dalam tentera dalam tahun 1970an, boleh dikatakan satu pertiga daripada anggota Tentera Darat adalah golongan bukan Melayu, namun kini jumlah tersebut semakin mengecil.

 

Beliau berkata penyertaan kaum Cina dalam bidang pekerjaan di negara ini, terutama dalam bidang ketenteraan boleh dikelaskan dalam tiga kumpulan, dengan kumpulan pertama, seperti beliau yang membesar dalam keluarga tentera.

 

“Kumpulan kedua, mereka tengok kepada pendapatan dan kenaikan pangkat, yang ketiga pula, tidak minat langsung (dalam bidang ketenteraan atau pekerjaan lain), mereka cuma minat berniaga,” katanya.

 

Beliau berkata untuk menarik kumpulan kedua dan ketiga menyertai bidang ketenteraan ini amat sukar.

 

“Jika dilihat kepada faedah, sebenarnya banyak yang kerajaan dah tawarkan sekarang, ada insentif, elaun, kemudahan pengajian pun ada.

 

“Bidang pengajian di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), masuk sahaja dari rambut ke hujung kaki semua ditanggung, elaun RM1,600 lagi dapat, keluar pun boleh jadi pegawai,” katanya.

 

Dalam usaha menarik lebih ramai penyertaan bukan Melayu dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerajaan telah melaksanakan beberapa langkah positif.

 

Pada Perbarisan Tamat Latihan Parajurit Muda di Port Dickson Feb lepas, Panglima Tentera Darat (PTD) Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor mensasarkan penyertaan sekurang-kurangnya 10 peratus kaum Cina dan India daripada 4,500 rekrut yang menjalani latihan setiap tahun.

 

Choon Siang, 56, anak ke lapan daripada sembilan adik beradik, telah berkhidmat dengan Tentera Darat hampir 38 tahun, dan secara berseloroh berkata darah keperwiraan yang mengalir dalam keluarganya antara faktor penyertaannya dalam ATM.

 

Beliau berkata, penglibatan keluarganya dalam bidang ketenteraan di negara ini boleh dijejaki seawal tahun 1940an.

 

Bapanya Toh Boon Hock telah menyertai angkatan Tentera Udara British di negara ini sebelum penjajahan Jepun pada 1942, dan turut terlibat dalam Perang Dunia Kedua menentang penjajahan askar Jepun, dan selepas itu menyertai Jabatan Kastam Diraja Malaysia hingga bersara.

 

Sementara tiga abangnya menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sehingga bersara, iaitu Toh Tiap Keng menyertai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan bersara dengan pangkat komander setelah berkhidmat lebih 30 tahun.

 

Dua lagi abangnya berkhidmat dengan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) iaitu Kapten (B) Toh Choon Hong dan Staf Sarjan Toh Choon Kooi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.