Berhenti ‘Spin’ Isu, Jaga Keselamatan Penumpang Kata Choo Keong Pada AirAsia

Kuala Lumpur – Bekas ahli parlimen Wang Maju, Wee Choo Keong membidas syarikat penerbangan tambang murah AirAsia yang berhasrat untuk memperkenalkan semula laluan ke Eropah seawal tahun depan.

 

Choo Keong ketika dihubungi SuaraTV menyifatkan keputusan itu bertujuan untuk mengalihkan pandangan masyarakat terhadap misi mencari mayat penumpang pesawat, QZ8501 yang terhempas di perairan Jawa pada tahun lalu.

 

“Saya ada baca kenyataan Tony Fernandez yang mahu menghentikan misi pencarian tersebut dalam masa 10 hari lagi dan bagi mengalihkan perhatian dan tumpuan masyarakat dia buat macam-macam pengumuman.

 

“Antaranya memperkenalkan semula penerbangan ke Eropah sedangkan laluan tersebut telah ditutup sebelum ini, tambahan pula mereka (AirAsia) sepatutnya memberikan tumpuan terhadap misi mencari mayat penumpang QZ8501,” katanya kepada SuaraTV.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes dalam satu kenyataan sebelum ini berkata kira-kira 60 mayat penumpang masih belum ditemui termasuk juruterbang dan misi pencarian tersebut akan dihentikan dalam tempoh tujuh hingga 10 hari lagi.

 

Tony ketika berada di Australia baru-baru ini turut berkata unit penerba­ngan jarak jauh AirAsia, AirAsia X dijangka akan memperkenalkan semula laluan penerbangan ke Eropah bagi mengambil kesempatan terhadap permintaan pasaran yang tinggi.

 

Menurutnya pengenalan semula laluan ke benua itu akan menggunakan jenis pesawat yang menjimatkan penggunaan minyak, dan menjangka London akan dipilih sebagai destinasi pertama syarikatnya ke Eropah.

 

Malah, syarikatnya telah membeli 55 buah pesawat Airbus A330neo bagi menjayakan rancangan itu.

 

Choo Keong turut menggesa Airasia agar berhenti mengejar keuntungan buat seketika sebaliknya memberikan tumpuan yang lebih terhadap aspek keselamatan dan nyawa para penumpang.

 

“Mereka (AirAsia) mengumumkan pembelian 55 pesawat Airbus sedangkan pada ketika ini mereka sepatutnya memberi keutamaan pada faktor keselamatan dan bukannya sibuk membeli pesawat baru.

 

“Syarikat AirAsia di Jepun dah tutup, di Filipina dah koyak, di Indonesia setengah mati, di Thailand separuh mati di Malaysia pun mula goyang apabila mereka rugi hampir RM500 juta, jadi untuk apa dan kemana pesawat itu akan digunakan?

 

“Tolong berhenti ‘spining’ isu sebaliknya tumpukan perhatian terutama dalam aspek keselamatan penumpang kerana ia sangat penting” ujarnya pula.

 

Choo Keong turut menasihati Tony agar melupakan prinsip lama beliau berhubung isu nyawa penumpang.

 

 

“Dia (Tony Fernandez) pernah berkata ‘rakyat Malaysia sanggup mengambil mengambil risiko nyawa, sekiranya harga tambang penerbangan cukup murah’ (If fares are priced low enough, Malaysians are prepared to risk their lives).

 

“Pada saya dia perlu melupakan prinsip ini,  kerana nyawa orang Malaysia juga tinggi nilainya, jangan disebabkan (Airasia) menawarkan harga tambang yang murah, mereka menyangkakan rakyat negara ini sanggup mengambil apa sahaja risiko” ujarnya secara sinis.

 

Ia merujuk kepada kenyataan Fernandes yang mahu mengkaji semula langkah-langkah operasi dan keselamatan pesawat AirAsia.

 

“Tidak ada jaminan bahawa AirAsia akan bebas daripada sebarang kemalangan seperti yang saya maklumkan, apa yang boleh kita laksanakan ialah mengurangkannya sebaik mungkin,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.