Berhenti Fitnah 1MDB – Mohamad Hassan

Port Dickson – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan meminta mana-mana pihak atau individu supaya berhenti memfitnah 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

 

“Cukuplah tu…..serahkan kepada Ketua Audit Negara menjalankan tugasnya dan selepas itu serahkan laporan yang diperolehi (the finding) kepada Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) untuk diteliti sebelum diumumkan.

 

“Kita beri pada pihak yang benar-benar mempunyai kelayakan dan kewibawaan. Biar PAC yang umumkan keputusan laporan audit itu ‘without fear or favor’,” katanya kepada pemberita.

 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tomahan yang didakwa dibuat oleh pihak tertentu mengenai 1MDB walaupun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini telah mengarahkan Ketua Audit Negara untuk mengesahkan secara bebas akaun 1MDB.

 

Mohamad ditemui selepas merasmikan Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) Linggi dekat sini yang dijayakan oleh Suruhankaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

 

Katanya, jika terbukti ada salah laku, biar undang-undang yang akan menentukan.

 

Ketika berucap pada majlis itu, beliau berkata, kecanggihan teknologi dan kemudahan internet haruslah dimanfaatkan sepenuhnya oleh orang ramai terutamanya golongan belia.

 

“Gunakanlah kemudahan yang disediakan dengan penuh rasa tanggungjawab. Oleh itu, jangan jadikan internet sebagai medium untuk menyebarkan maklumat yang tidak tepat, berunsur fitnah, memburukkan imej seseorang dan mengganggu-gugat keselamatan orang awam dan juga negara,” katanya.

 

Katanya, penyebaran berita palsu juga boleh mencetuskan panik dalam kalangan masyarakat.

 

Katanya perkara ini juga boleh menyebabkan berlakunya pergaduhan dan perpecahan dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum.

 

“Justeru, kita perlulah sensitif dan menghormati orang lain,” katanya, lapor Bernama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.