Banjir: Tiada Keperluan Tubuh RCI – Najib

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak berkata, tiada keperluan untuk membentuk Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi mengkaji kelemahan dan kekurangan kerajaan dalam menangani insiden banjir teruk yang melanda negara, akhir tahun lalu.

 

Bagaimanapun Perdana Menteri berkata, kerajaan akan mengkaji, menyemak dan mengemaskini Peraturan Tetap Operasi (PTO) pengendalian bencana banjir dan Prosedur Operasi Standard (SOP) agensi pelaksana supaya berkeupayaan dalam menghadapi situasi banjir besar.

 

Justeru itu, katanya, berdasarkan kajian banjir yang dianggap terburuk dalam tempoh 100 tahun itu, beberapa isu dikenal pasti dan memerlukan penambahbaikan antaranya peningkatan kompetensi dan kemahiran kepemimpinan dalam agensi di peringkat daerah, negeri serta pusat.

 

“Antaranya, kaedah perintah dan kawalan pembangunan keupayaan sistem amaran awal yang lebih tepat dan berkeupayaan memberi amaran dalam tempoh masa yang lebih lama.

 

“Peningkatan keupayaan aset dan logistik yang bersesuaian bagi penggunaan operasi mencari dan menyelamat dalam keadaan bencana ekstrim antaranya bot berkeupayaan tinggi `amphibious vehicles’ serta helikopter yang berkeupayaan untuk beroperasi dalam situasi lebih serius.

 

“Di samping itu penempatan pegawai berkemahiran dalam pengurusan bencana terutama di peringkat daerah dan negeri bagi memastikan bencana dapat diselaras dan dikendalikan dengan lebih berkesan,” katanya menjawab soalan Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang).

 

Perdana Menteri berkata, bagi tempoh jangka sederhana dan panjang, kerajaan akan melaksana projek pencegahan banjir terutama projek yang mampu menghasilkan pendapatan seperti pembinaan empangan yang boleh menjana bekalan elektrik.

 

Selain itu, katanya, kerajaan sedang mengkaji modul terbaik pengurusan bencana yang dipraktikkan negara yang sering dilanda malapetaka.

 

“Kesimpulannya, sebarang bentuk pembangunan mesti bersifat lestari dan mapan, merangkumi pelaksanaan projek pembangunan, perlombongan, pembukaan tanah dan pembalakan.

 

“Jelasnya pembangunan yang tidak mementingkan kelestarian alam sekitar akan membawa mudarat kepada manusia, inilah pengajaran penting daripada banjir besar ini,” katanya. – BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.