A Kadir Jasin Kutip Berita Dari ‘Tong Sampah’ – Syed Ali

Kuala Lumpur – Wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin dinasihatkan tidak menyebarkan maklumat yang boleh mengelirukan rakyat menerusi penulisannya yang bersifat ‘berita dongeng’ yang jelas tidak berasas dan dikutip dari ‘tong sampah’ dalam isu melibatkan syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

 

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali berkata demikian sebagai membidas kenyataan bekas Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times itu dalam blognya baru-baru ini yang bertajuk Cerita Penglipur Lara.

 

Menurutnya, dakwaan yang dilemparkan A Kadir dengan memetik kenyataan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang kononnya kerajaan akan membayar RM900 juta untuk mengisi tabung 1MDB adalah tidak benar.

 

Tegasnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak pernah menyebut mengenai dana yang akan disumbangkan kerajaan berjumlah RM900 juta kepada 1MDB semasa perjumpaan bersama 160 orang Ketua Bahagian pada 8 Mac lalu.

 

“Saya tidak faham di mana A Kadir Jasin mendapat maklumat palsu itu?

 

“Apa yang ditulis oleh A Kadir Jasin dalam blognya jelas merupakan ‘berita dongeng’ yang diperolehi dari sumber tidak sah atau pandang dengar,” tulis Syed Ali dalam catatan terbaru di blognya, umnobahagiancheras.com, semalam.

 

Syed Ali sebelum ini menyanggah kenyataan yang dibuat Rafizi Ramli bahawa 1MDB akan mendapat bantuan tambahan daripada kerajaan.

 

Bagaimanapun, pada Khamis lalu Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah menyatakan kerajaan menyuntik dana sebanyak RM950 juta kepada 1MDB sebagai kredit tersedia (‘standby-credit’). .

 

Susulan itu, A Kadir menerusi catatan di blognya, The Scribe A Kadir Jasin melontarkan pertanyaan sama ada Najib tidak menyebut mengenai dana tersebut atau Syed Ali yang tidak menyedarinya.

 

“Perdana Menteri tak sebut atau Syed Ali tak dengar? Mungkin Perdana Menteri sebut, tetapi Syed Ali tak dengar atau tak perasan,” tulis A Kadir.

 

Selain itu, A Kadir dalam entri yang sama antara lain turut menggesa Timbalan Perdana Menteri (TPM), Tan Sri Muhyiddin Yassin agar tidak terus membisu membabitkan isu 1MDB, selain mencabar anggota kabinet yang celik ekonomi supaya bercakap benar mengenai keadaan sebenar syarikat pelaburan nasional itu.

 

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Syed Ali menyatakan A Kadir jelas menerima maklumat yang tidak tepat dan menyarankan agar beliau lebih berhati-hati dalam penulisannya.

 

“Saya nak tanya di sini sama ada saya yang kena kelentong atau A Kadir Jasin yang kena kelentong dengan maklumat yang palsu?

 

“Kalau Presiden UMNO (Najib) tidak sebut soal pinjaman RM900 juta itu kepada 1MDB kenapa saya nak sebut? Memang sah-sah berita itu palsu atau pembohongan pihak tidak bertanggungjawab kenapa saya mahu mengiyakannya?” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.