Simpanan KWSP pencarum menyusut 50 peratus – Ahmad

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kerajaan akui sukar untuk beri kebenaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dikeluarkan sekali lagi.

Menurut Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan simpanan ahli menyusut sangat ketara dan kerajaan menyifatkan hidup rakyat kini sudah pun kembali normal pasca Covid-19.

“Hari ini jawab soalan tentang KWSP di Dewan Rakyat daripada ahli Parlimen Paya Besar, Bukit Gantang dan Bachok.

“8.1 juta ahli KWSP telah keluarkan RM145 bilion berkaitan Covid-19,” ujar beliau.

Katanya, median simpanan semua ahli turun daripada RM16.6 ribu tahun 2019 kepada RM8.1 ribu tahu 2022 iaitu turun sekitar 50 peratus.

“Ahli Melayu 7 juta orang, median simpanan turun daripada RM16.9 ribu kepada RM5.5 ribu (2022).

“Manakala Bumiputera lain 1.4 juta ahli turun daripada RM10.6 ribu kepada hanya RM3.3 ribu.

“Maka, sukar untuk diberi kebenaran bagi keluaran sekali lagi. Covid19 juga sudah semakin tiada, hidup kembali normal,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad memaklumkan jumlah keseluruhan aset pelaburan KWSP setakat September 2022 bernilai RM961.1 billion.

Jelas beliau, wang KWSP pada ketika ini dilaburkan di dalam beberapa instrumen seperti instrumen berpendapatan tetap sebanyak 48 peratus, ekuiti tersenarai Malaysia (37 peratus), ekuiti persendirian (49 peratus), aset nyata (tujuh peratus), dan instrumen pasaran wang (empat peratus).

“KWSP juga turut melabur dalam pelaburan domestik sebanyak 64 peratus dan pelaburan luar negara (36 peratus),” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) mengenai jumlah keseluruhan aset KWSP, instrumen pelaburan wang tabung simpanan persaraan dan perbezaan dividen dahulu dan masa kini.

Mengulas mengenai perbandingan dividen, Ahmad berkata pulangan pada masa dahulu lebih tinggi di antara tujuh hingga lapan peratus berbanding ketika ini kerana terdapat perbezaan dividen yang diperoleh daripada instrumen berpendapatan tetap dan peratusan kadar inflasi.

“Keadaan dulu dan sekarang lain, dividen yang direkodkan oleh instrumen berpendapatan tetap masa dahulu adalah tinggi antara tujuh hingga lapan peratus dan kadar inflasi juga tinggi, tetapi inflasi sekarang berada pada paras 3.8 peratus dan dividen instrumen berpendapatan tetap hanya antara tiga hingga 3.5 peratus, maka dividen adalah sebagaimana yang kita dapat,” tambahnya.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan daripada Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (PN-Bukit Gantang) mengenai had dividen bagi kadar caruman sukarela, Ahmad berkata terdapat cadangan peningkatan kadar caruman daripada RM60,000 kepada RM100,000 dan ini akan diumumkan oleh Menteri Kewangan dalam Belanjawan 2023.

“Sehingga kini, jumlah caruman sukarela dihadkan maksimum sehingga RM60,000 sahaja dan dividen yang diperoleh mereka berdasarkan jumlah caruman yang dibuat.

“Namun, jika selepas ini ada peningkatan dalam jumlah caruman sukarela (kemungkinan) tiada had juga pada dividen….(jika) dividen yang diumumkan KWSP banyak, maka dividen itulah yang mereka akan dapat,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat