KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menggalakkan sekolah agama mendaftar sebagai sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) bagi melayakkan sekolah agama menerima bantuan daripada kerajaan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sisek berkata sekolah agama yang berhasrat untuk berdaftar sebagai SABK juga perlu mengemukakan permohonan kepada KPM.
“Sekolah yang ingin berdaftar perlu memenuhi syarat yang ditetapkan termasuk mempunyai premis sendiri dan dibina di atas tanah wakaf atau tanah Kerajaan Negeri serta memenuhi syarat keselamatan yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Sekolah yang ingin berdaftar juga hendaklah melaksanakan Kurikulum Kebangsaan sebagaimana yang ditetapkan di bawah Akta 550 dan apa-apa kurikulum yang dibenarkan oleh KPM,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari di dewan rakyat mengenai cadangan Kementerian untuk mendaftarkan semua sekolah-sekolah agama dan apakah kaedah untuk memastikan sekolah-sekolah ini dapat didaftarkan supaya layak untuk mendapat bantuan Kerajaan.
Fadhlina menjelaskan seksyen 79 Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) menetapkan bahawa semua institusi pendidikan hendaklah didaftarkan di bawah akta ini.
Walau bagaimanapun katanya bagi institusi pendidikan yang menjalankan pendidikan agama semata-mata adalah terkecuali daripada tafsiran akta ini.
“Sekolah juga hendaklah melaksanakan kokurikulum sebagaimana yang ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia di Sekolah Kerajaan dan Sekolah Bantuan Kerajaan yang lain.
“KPM amat peka atas keperluan pendaftaran sekolah agama dengan pihak kerajaan.
“Sesi perbincangan dua hala dan libat urus KPM dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan pihak berkuasa agama negeri (PBAN) akan terus dilaksanakan bagi memastikan sekolah agama dapat didaftarkan untuk melayakkan sekolah tersebut menerima bantuan dan ditadbir urus dengan baik,” katanya.
Untuk rekod mulai tahun 2004 sehingga 31 Januari 2023, sebanyak 229 buah sekolah agama telah didaftarkan sebagai SABK.