CYBERJAYA – Ahli Parlimen (MP) Langkawi dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mohd Suhaimi Abdullah memohon maaf kerana menyebabkan Tun Dr Mahathir Mohamad mengalami kekalahan teruk hingga hilang deposit dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Memetik laporan FMT, Suhaimi yang bertanding atas logo Perikatan Nasional (PN) mengakui berasa sedih dengan kekalahan dialami Mahathir, yang juga adalah bekas pengerusi dan pengasas Bersatu,
“Rasa sedih terhadap Mahathir dan tidak sangka Tun akan hilang deposit.
“Saya minta ampun dan maaf kepada Tun. Keputusan parti letak saya di Langkawi dan saya amat sayang kepada Perikatan Nasional (PN) dan presiden saya.
“Budi baik Tun akan dikenang,” katanya, ketika membahas titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat.
Untuk rekod, pada PRU15, Mahathir yang dalam usaha mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi buat penggal kedua, hilang deposit kerana sekadar meraih 4,566 undi daripada keseluruhan 48,123 undi dalam pertembungan lima penjuru.
Suhaimi menang dengan majoriti 13,518 undi.