KUALA LUMPUR – Permulaan program vaksinasi negara pada akhir bulan ini dijangka dapat membantu meningkatkan sentimen apabila aktiviti pengguna Malaysia diunjur pulih semula pada separuh kedua 2021.
Keadaan ini berlaku sekiranya negara berjaya mencapai imuniti penduduk menjelang Februari 2022 jika program vaksinasi berjalan lancar seperti yang dirancang, kata HSBC Global Research dalam satu nota penyelidikan hari ini.
Ketua Ahli Ekonominya bagi ASEAN, Joseph Incalcaterra berkata Malaysia mencatatkan pertumbuhan ekonomi lemah pada 2020, yang mana bukan suatu yang mengejutkan kerana gelombang terbaharu jangkitan COVID-19 telah menjejaskan mobiliti dan perbelanjaan pengguna pada akhir tahun.
Ekoran itu negara telah mencatatkan penurunan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun penuh sebanyak -5.6 peratus, lebih tinggi berbanding unjuran kerajaan dalam jajaran -3.5 hingga -5.5 peratus.
“Malangnya, keadaan dijangka terus merosot lagi dalam suku pertama 2021 ekoran pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) yang boleh merisikokan unjuran KDNK 2021 kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) pada jajaran 6.5-7.5 peratus.
“Walaupun sekatan pergerakan telah dilonggarkan, mobiliti pengguna tidak dijangka meningkat kerana kes baharu masih lagi tinggi pada Februari,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, sekatan pergerakan kali ini tidak begitu ketat berbanding pada awal 2020 dan yang paling penting dijangka hanya memberi impak minimum kepada sektor pembuatan.
Beliau juga berpandangan tinjauan bagi eksport dan pengeluaran perindustrian Malaysia dijangka mengukuh, dengan negara diunjur mencatatkan prestasi eksport yang lebih baik berikutan permintaan tinggi global terhadap semikonduktor dan elektronik.
Meskipun aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) bersih rendah pada 2020, beliau berkata kelulusan FDI pembuatan meningkat sepanjang tahun itu, membayangkan tambahan kapasiti, yang mana kebanyakannya dalam sektor semikonduktor.
“Pada masa yang sama, harga gas asli cecair dan minyak sawit yang tinggi juga merupakan satu perkembangan yang baik Malaysia,” katanya.
Incalcaterra berkata meskipun gangguan daripada pandemik itu, respons dasar yang padu di Malaysia membantu menghalang kerosakan struktur kepada ekonomi negara.
“Sokongan dasar fiskal bersasar membantu pasaran buruh terus kekal bertahan dan sedikit sebanyak mengehadkan kadar pemberhentian pekerja, manakala pemberian moratorium pinjaman dan kemudahan yang disubsidikan membantu melindungi kedudukan kewangan perusahaan kecil dan sederhana dan pengguna,” katanya.
Bagaimanapun, dalam tempoh jangka masa pendek, beliau berpendapat lebih banyak bantuan akan diperlukan untuk mengimbangi impak sekatan pergerakan terbaharu. – Bernama