Takutkan Tuhan, Abang Johari Serius Pastikan Sarawak Bebas Rasuah

LUNDU — Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata beliau amat serius dalam memastikan pentadbiran beliau bebas daripada sebarang bentuk rasuah.

 

“Saya sangat serius mengenai ikrar bebas rasuah yang kita (menteri kerajaan negeri dan menteri muda) buat di hadapan ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia tetapi paling saya takut ialah Tuhan dan saya tidak akan benarkan rasuah berlaku dalam pentadbiran saya,” katanya.

 

Abang Johari berucap pada majlis makan malam Tahun Baru Cina di sini malam tadi yang dihadiri lebih 1,000 orang daripada pelbagai kaum.

 

Beliau berkata beliau akan memastikan semua menteri dan menteri muda beliau bersih dan berjanji yang beliau akan menjadi ketua menteri yang adil kepada semua kaum dan agama.

 

Beliau akan mengumumkan tidak lama lagi hala tuju baru ekonomi negeri yang akan memanfaat semua kaum di Sarawak, katanya.

 

Pada majlis tersebut, Abang Johari mengumumkan peruntukan RM6 juta bagi Sekolah Cina di Sarawak.

 

Beliau turut mengumumkan peruntukan RM300,000 untuk SJK Chung Hua Lundu bagi kerja-kerja baik pulih bangunan sekolah berkenaan. — Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.