SPRM Tahan 7 Doktor Tawar Lesen Terbang

PULAU PINANG – Tujuh orang doktor ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri selepas menawarkan pengesahan perubatan untuk memperbaharui Lesen Kendera­an Pengangkutan Awam (PSV) hanya pada harga RM5 dan RM30.

 

Kesemua terdiri daripada seorang doktor klinik kerajaan dan enam doktor klinik swasta ditahan dalam operasi berasingan SPRM negeri pukul 3 petang semalam di Bukit Mertajam; Batu Feringghi; Pekan Lama; Gelugor dan Perai di sini, petik Utusan.

 

Kesemua mereka dipercayai me­nawarkan perkhidmatan itu sejak empat hingga 10 tahun lalu.
Dalam pada itu, menurut Pengarah SPRM ne­ge­ri, Datuk Abdul Aziz Aban, dalam serbuan ke atas klinik-klinik itu, pihaknya turut menahan seorang wanita berusia 41 tahun iaitu pembantu salah sebuah klinik dan dua lelaki berusia antara 32 dan 74 tahun yang menjadi runner kegiatan berkenaan.

 

Katanya, kerani yang berkhid­mat dengan mereka juga diberikan kebenaran meluluskan borang pemeriksaan perubatan itu dengan menurunkan tandata­ngan­nya sendiri.

 

“Kelulusan PSV ‘terbang’ itu lebih mudah apabila runner yang bertugas mencari pemohon memberikan perkhidmatan tanpa memerlukan pemandu perkhidmatan awam ke klinik mendapatkan pemeriksaan doktor.

 

“Dalam serbuan itu, kita mene­mukan enam cop palsu atas nama dua klinik dan tiga nama doktor yang tidak wujud bertujuan meluluskan permohonanan berke­naan,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat SPRM di sini hari ini.

 

SPRM turut merampas 16 buku yang mengandungi 1,600 keping Borang L8 milik Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang tujuh daripadanya telah ditandatangani dan dicop dengan nama doktor dan klinik tidak wujud.

 

Selain itu, turut dirampas adalah 1,259 resit bayaran klinik dan borang permohonan pemeriksaan perubatan.

 

Tambah Abdul Aziz, kesemua suspek yang direman bermula hari ini disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM dan pihaknya akan menyemak kembali kes itu bagi membolehkan kes tersebut didakwa di bawah mana-mana Kanun Keseksaan.

 

“Perkara ini amat serius kerana jika pemandu bas dan teksi mendapatkan kelulusan kesihatan dengan mudah sedangkan mereka tidak sihat boleh mengakibatkan peningkatan kemalangan jalan raya,” tegasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.