Penolong Jurutera JKR Tak Mengaku Salah Terima Rasuah RM105,000

ALOR SETAR – Penolong Jurutera Awam Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Muda/Sik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas lima pertuduhan meminta dan menerima rasuah sebanyak RM105,000 berkaitan tender projek penyelenggaraan dan naik taraf jalan di Sik.

 

Ishak Ismail, 56, mengaku faham terhadap semua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam prosiding di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah itu namun minta dibicarakan.

 

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa meminta suapan RM55,000 daripada Nor Azman Hashim, 42, di Taman Petani Jaya, Sungai Petani pada 2 Ogos 2016 sebagai dorongan menyokong dan memastikan Jawatankuasa Sebut Harga memberikan tender kerja menebang pokok dan mengorek keluar akar di daerah Sik diberikan kepada Hash Padu Enterprise dan Tanjak Perkasa Enterprise manakala syarikat Sri Nadya Enterprise diberi tender kerja penyelenggaraan di jalan negeri.

 

Bagi pertuduhan kedua, pada 4 Ogos lalu di hadapan Hotel Park Avenue, Sungai Petani, dia didakwa meminta rasuah RM20,000 daripada Nor Azman bagi memastikan kerja menebang pokok dan mengorek keluar akar diberikan kepada Panji Mega Enterprise.

 

Tertuduh juga didakwa meminta rasuah RM30,000 daripada Nor Azman melalui SMS pada 14 Ogos 2016 supaya Jawatankuasa Sebut Harga memberikan kerja penyelenggaraan dan pembaikan kecil cerun di Kampung Balong Ayam/Cepir, Sik kepada ZNZ Warisan Enterprise.

 

Bagi dua lagi pertuduhan, Ishak didakwa menerima rasuah wang tunai RM75,000 dan RM30,000 daripada Nor Azman untuk memastikan projek berkaitan diberikan kepada lima syarikat iaitu Hash Padu Enterprise, Panji Mega Enterprise, Tanjak Perkasa Enterprise, Sri Nadiya Enterprise dan ZNZ Warisan Enterprise.

 

Kesalahan itu dilakukan di rumahnya di Simpang 3, Sungai Daun Yan pada 9 dan 18 Ogos 2016.

 

Bagi kesalahan meminta dan menerima rasuah, dia dituduh mengikut Seksyen 16(a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama, jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi.

 

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin serta syarat tambahan, dokumen perjalanan diserahkan kepada mahkamah sementara perbicaraan selesai.

 

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) A Hafiizh Abu Bakar sementara tertuduh diwakili peguam Ramkarpal Singh.

 

Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 28 Mac depan. – HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.