Kabinet Setuju Tubuh Pasukan Khas Siasat Kerugian Forex

Kerajaan bersetuju untuk menubuhkan satu pasukan petugas khas untuk menyiasat kerugian urus niaga mata wang asing (forex) oleh Bank Negara pada 1990an.

 

Keputusan itu dibuat selepas mesyuarat kabinet petang ini.

 

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan berkata pasukan petugas khas itu akan dianggotai pelbagai agensi kerajaan termasuk individu-individu yang dihormati dan berpengalaman dalam bidang-bidang tertentu.

 

“Pasukan petugas khas ini akan mengemukakan syor dan cadangan untuk dipertimbangkan oleh Kabinet dalam tempoh terdekat dan tindakan selanjutnya termasuk penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) jika perlu berdasarkan hasil siasatan itu nanti,” kata kenyataan itu.

 

Menurut kenyataan itu, tindakan kerajaan itu membuktikan komitmen dan ketelusan kerajaan bagi memastikan urusan Bank Negara pada ketika itu dijalankan mengikut urus tadbir yang ditetapkan.

 

Menurut Pejabat Perdana Menteri, kerajaan akan sentiasa terbuka dan telus dalam siasatan itu memandangkan ia melibatkan Bank Negara Malaysia dan dikatakan skandal kewangan terbesar.

 

“Penubuhan pasukan petugas khas ini merupakan langkah permulaan bagi mendapatkan semula fakta-fakta yang berkaitan – menganalisis semua Hansard rasmi mesyuarat-mesyuarat Parlimen pada masa itu, minit-minit Mesyuarat Kabinet yang terdahulu, laporan Ketua Audit Negara, Bank Negara Malaysia dan laporan-laporan lain daripada agensi-agensi yang berkenaan.

 

“Ia juga bertujuan untuk mengetahui apa sebenar yang telah berlaku, jumlah kerugian sebenar dan sama ada terdapat salah laku tatacara pentadbiran kewangan serta adanya tindakan pihak tertentu untuk menutup apa yang sebenar berlaku dari pengetahuan rakyat Malaysia selama ini,” menurut kenyataan itu.

 

Isu kerugian kontroversi, yang berlaku hampir tiga dekad lalu ‘dihidupkan’ semula selepas Tun Dr Mahathir Mohamad berusaha untuk menyatukan pembangkang dalam cubaannya untuk menggulingkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

 

Mahathir adalah perdana menteri apabila aktiviti Bank Negara dalam pasaran tukaran mata wang asing tidak menjadi.

 

Beliau menuduh Najib terpalit dengan rasuah berikutan laporan deposit bernilai berbilion ringgit berada akaun bank peribadi perdana menteri.

 

Najib menafikan wang itu dari 1MDB dan mendakwa dana berkenaan adalah “derma” dari ahli keluarga diraja Arab Saudi.

 

Najib juga menafikan melakukan sebarang salah laku atau mengambil wang rakyat untuk kepentingan peribadi.-Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.