Fauzi Nawawi Rakam Lagu Bukan Mahu Jadi Penyanyi

Pelakon Fauzi Nawawi akui rakam lagu bukan berniat untuk menjadi penyanyi.

 

Menurut Fauzi atau Mohd Fauzi Nawawi, 44, berkata, OST berjudul Adam dan Hawa yang dinyanyikan olehnya hanya dirakamkan khas untuk filem arahan dan lakonannya, Pak Pong, petik AstroGempak.

 

“Sepatutnya lagu duet OST dengan Marsha Milan Londoh ini penyanyi lelaki lain yang akan menyanyi.

 

“Tetapi di saat akhir penerbit tidak cukup bajet untuk mengambil penyanyi yang sepatutnya menyanyikannya.

 

“Selepas berfikir dan berbincang saya menawarkan diri untuk menyanyi sahaja lagu tersebut demi menjimatkan bajet.

 

“Lagipun saya memang mahukan satu lagu OST untuk filem ini, jadi hendak atau tidak saya perlu lakukan.

 

“Jadi saya menyanyi bukan hendak menjadi penyanyi, sebaliknya hanya mahu selamatkan filem ini,” katanya.

 

Bercerita mengenai pengalaman merakamkan lagu duet tersebut, Fauzi memberitahu dia mengambil masa agak lama kerana gagal mengawal rasa gentarnya.

 

“Pengalaman merakamkan album ini memang saya tidak dapat lupakan. Bagi saya menyanyi lebih susah dari berlakon.

 

“Bayangkan saya ambil masa tiga jam hanya untuk merakamkan suara bagi bahagian saya sahaja.

 

“Saya minta Marsha merakamkan lagu tersebut terlebih dahulu bagi bahagian penyanyi wanita, kemudian saya meminta dia dan sesiapa yang tiada kaitan untuk pulang supaya membiarkan saya seorang di dalam studio.

 

“Saya terlalu gementar sehingga saya suruh semua balik supaya ketika merakamkan lagu ini tiada siapa pun yang melihat.

 

“Agak kelakar jugalah tetapi saya berjaya merakamkannya dengan baik, malah komposer juga memuji suara saya.

 

“Namun jika diminta menyanyikan kembali lagu ini, saya sudah lebih awal meminta anak saya Fareez (Juara Mentor Milenia) menggantikan saya nanti,” katanya lagi.

 

Filem Pak Pong yang turut dibintangi oleh Hairul Azreen, Siti Saleha, Datuk Eizlan Yusof, Saiful Apek, Amber Chia dan ramai lagi bakal menemui penonton di seluruh pawagam bermula 23 Februari ini.

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.