Dua Suspek Wanita Kes Bunuh Abang Presiden Korea Utara Ditahan Reman 7 Hari

SEPANG – Dua wanita warga asing ditahan reman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes pembunuhan abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Nam.

 

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majisret Sharifah Muhaymin Abd. Khalib dan prosiding dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang di sini.

 

Ketua Polis Selangor Datuk Seri Abdul Samah Mat ketika dihubungi mengesahkan kedua-dua suspek direman bermula hari ini.

 

Terdahulu, Majistret dilihat keluar meninggalkan perkarangan Ibu Pejabat Polis (IPD) Sepang kira-kira pukul 11 pagi bagi mengeluarkan perintah reman terhadap kedua-dua suspek wanita yang dikaitkan dengan kes pembunuhan Jong-Nam.

 

Semalam, polis menahan seorang wanita warga asing berusia 29 tahun di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pukul 8.20 pagi.

 

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dipetik sebagai berkata, wanita itu memiliki pasport Vietnam dan identitinya bersamaan dengan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lapangan terbang itu.

 

Hari ini, Khalid mengesahkan, seorang wanita warga Indonesia pukul 2 pagi hari ini berhubung kes yang sama.

 

Wanita dipercayai berasal dari Serang, Indonesia berdasarkan pasport yang dimilikinya ketika ditahan. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.