Dua Suspek Bunuh Jong-Nam Direman Tujuh Hari

SEPANG – Dua orang wanita warga asing direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes pembunuhan Kim Jong-nam yang merupakan abang tiri pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).

 

Kosmo melaporkan, perintah reman ke atas kedua-dua suspek itu dikeluarkan oleh Majistret Sharifah Muhaymin Abd. Khalib di Ibu Pejabat Polis (IPD) Sepang sekitar pukul 10.30 pagi tadi.

 

Sharifah Muhaymin tiba di Mahkamah Majistret Sepang 35 minit kemudian iaitu pada pukul 11.05 pagi, namun enggan memberikan sebarang kenyataan.

 

Dalam pada itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Seri Abdul Samah Mat ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

 

Kedua-dua suspek wanita itu masing-masing berasal dari Vietnam, 29 dan Indonesia, 25.

 

Semalam, polis menahan seorang suspek kes pembunuhan Jong Nam yang mati diracun di KLIA2 pada Isnin lalu.

 

 

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memaklumkan bahawa seorang suspek wanita yang berasal dari daerah Nam Dinh, Vietnam ditahan di KLIA2 pukul 8.20 pagi semalam.

 

 

Manakala, seorang lagi suspek yang berasal dari Serang, Indonesia ditahan ketika bersendirian pada pukul 2 pagi tadi.

 

 

Bagaimanapun, maklumat mengenai lokasi tangkapan suspek kedua itu dibuat tidak dinyatakan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.