APMM Tubuh Media Siber Bagi Jawab Tohmahan

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah membentuk satu pasukan media di bawah Unit Komunikasi bagi menjawab
segala bentuk tohmahan yang dilemparkan terhadap agensi berkenaan.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata pasukan media siber itu ditubuhkan tahun ini dan berperanan menjawab tohmahan dan aduan dalam masa singkat.

 

“Melalui penubuhan pasukan siber berkenaan, kita pastikan supaya tohmahan dan fitnah yang diterima ini dapat dijawab dengan baik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Ulang Tahun Maritim Malaysia ke-12 di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah, di Kuantan, Pahang.

 

Shahidan berkata tohmahan dan kemusykilan yang diterima perlu dijawab dalam tempoh kurang dua jam.

 

“Tidak perlu untuk menunggu lama dan berfikir mencari ilham bagi menjawab segala berita yang tidak benar itu… Sekiranya terdapat kesalahan yang dilakukan oleh anggota tindakan undang-undang akan diambil,” katanya.

 
Dalam pada itu, beliau berkata Pasukan Sukarelawan Simpanan Maritim Malaysia yang ditubuhkan di Perlis dan Sabah akan diperluas ke Terengganu, Kelantan serta Selangor menjelang akhir bulan ini.

 

Beliau berkata lebih 400 orang menyertai pasukan itu di Perlis serta Sabah dan bilangan anggota dijangka bertambah sehingga lebih 10,000 apabila penubuhan di seluruh negara selesai.-Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.