Sidang Kemuncak Pemimpin AS-ASEAN Bermula Hari Ini

SUNNYLANDS – Pemimpin ASEAN dan Amerika Syarikat (AS) membuka tirai Sidang Kemuncak yang julung kali diadakan di sini, hari ini dengan perbincangan tertumpu kepada usaha mempertingkatkan hubungan ekonomi dan kerjasama strategik.

 

Presiden AS, Barack Obama mengalu-alukan kehadiran 10 pemimpin ASEAN dalam persidangan dua hari pemukiman di pusat peranginan Sunnylands di gurun barat California.

 

Dengan suhu persekitaran mencecah 31 darjah Celsius, semua pemimpin akan membincangkan pelbagai isu membabitkan kerjasama ekonomi, politik, keganasan dan pertikaian membabitkan Laut China Selatan.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum itu tiba di Palm Springs di mana terlebih dahulu mengadakan pertemuan dengan pegawai Malaysia sebelum sidang kemuncak berkenaan.

 

Semalam, Perdana Menteri menegaskan kepentingan sidang kemuncak berkenaan untuk kedua-dua pihak, AS dan Asia Tenggara dan berkata, ia jelas membawa kesan kepada kepentingan strategik ASEAN.

 

“Ia adalah satu mesyuarat yang signifikan kepada Asean dan juga Amerika,” kata Perdana Menteri dalam perutusannya menjelang sidang kemuncak pada Isnin dan Selasa (di Amerika Syarikat) itu.

 

“Ia jelas satu pengiktirafan oleh AS mengenai kepentingan hubungan diplomatik, ekonomi dan strategik ASEAN,” katanya.

 

Obama akan menjadi hos kepada Najib dan sembilan lagi pemimpin ASEAN bertempat di Rancho Mirage untuk persidangan kali pertama AS-ASEAN di bumi Amerika sebagai sebahagian usaha Washington meningkatkan fokus dasar luarnya terhadap rantau ASEAN yang semakin berkembang ekonominya.

 

Hari pertama persidangan akan menumpukan kepada ekonomi. Malam ini, Obama dan pemimpin ASEAN akan mengadakan perbincangan tidak formal dan bebas mengenai isu serantau dan global semasa majlis makan malam. – BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.