Prasarana Bekerjasama Dengan London Untuk Pertukaran Maklumat Teknikal Dan Operasi

KUALA LUMPUR – Prasarana Malaysia Bhd telah memulakan program penempatan kerja dengan Transport of London (TFL) bagi memudahkan perkongsian maklumat teknikal dan operasi dalam pengangkutan awam.

 

Presiden Prasarana dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Azmi Abdul Aziz berkata ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Prasarana untuk meningkatkan lagi keupayaannya bagi menjadi penyedia pengangkutan awam bersepadu global.

 

“Kami ingin memberi ruang dan peluang untuk kakitangan Prasarana meningkatkan kemahiran mereka, di mana hasilnya akan dapat dinikmati oleh pengguna penggangkutan awam.

 

“Program yang bermula dalam tahun ini, melibatkan pegawai-pegawai kanan dari kedua-dua organisasi yang akan menjalankan pengoperasian ke atas projek-projek yang dipersetujui secara bersama dalam tempoh sekurang-kurangnya dua bulan,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) itu di sini hari ini.

 

Beliau mewakili Prasarana bagi MoU itu dan bagi TFL, ia diwakili oleh Pengarah Urusan Pengangkutan Permukaan TFL, Leon Daniels.

 

Acara itu disaksikan oleh Pengerusi Prasarana Tan Sri Ismail Adam dan Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia Vicki Treadell.

 

Program itu juga melibatkan perkongsian kepakaran profesional dan pengalaman antara Prasarana serta Pengangkutan Permukaan TFL.

 

Pengangkutan Permukaan TFL bertanggungjawab menguruskan rangkaian jalan raya utama sepanjang 580 km dan 6,000 lampu isyarat termasuk polisi pengangkutan serta aktiviti penguatkuasaan.

 

MoU itu merupakan lanjutan daripada perjanjian yang ditandatangani di antara Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat dan Kementerian Pengangkutan British pada 2011.-Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.